Isu SemasaMalaysiaTempatan

Bomoh Boleh ‘Tarik Duit’ Dari Alam Ghaib?

Budaya berjumpa dengan pengamal perubatan atau “bomoh” bukanlah perkara yang asing dalam kalangan sesetengah masyarakat.

Walaupun ia secara terang bertentangan dengan syariat agama, masih ramai individu yang gemar mendapatkan perkhidmatan bomoh untuk pelbagai bentuk kepentingan peribadi.

Ia termasuk untuk menjatuhkan pesaing/musuh, mendapatkan jodoh, menjaga kedudukan/jawatan, ‘menundukkan orang’ dan juga melariskan perniagaan.

Bukan itu sahaja, malah ada juga segelintir individu mempercayai bahawa perkhidmatan bomoh boleh mendatangkan ‘tuah’ kepada mereka.

Baru-baru ini, The Star melaporkan terdapat pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa mereka kononnya boleh ‘menarik’ duit daripada alam ghaib ke dunia yang nyata.

Walau bagaimanapun sebelum berbuat demikian, mereka akan meminta pelanggan untuk membayar wang deposit yang boleh mencecah wang beribu-ribu ringgit bagi melaksanakan upacara berkenaan.

Menurut penasihat Islamik dan media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, golongan ini akan memaklumkan kepada pelanggan mereka bahawa wang deposit yang diberi akan digunakan untuk pelbagai tujuan murni, termasuk membiayai pengajian Islamik.

Selain itu, bomoh-bomoh tersebut turut menyatakan bahawa mereka mempunyai kebolehan untuk meminta pertolongan makhluk-makhluk di alam ghaib untuk membantu orang-orang yang memerlukan.

Tuan Asmawi berkata, pernah berlaku sebuah kes di mana seorang lelaki telah ditipu oleh seorang bomoh dari Indonesia yang mahu melakukan upacara menarik duit sekali gus kerugian wang bernilai ribuan ringgit.

Difahamkan, terdapat sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Ikatan Paranormal Indonesia yang melakukan kegiatan memperdaya orang ramai untuk mendapatkan ‘perkhidmatan’ mereka.

“Kini, wujud sebuah kumpulan bergelar Ikatan Paranormal Indonesia yang memperdaya mangsa-mangsa mereka dengan mendakwa bahawa mereka boleh melakukan perkara sedemikian (tarik duit) dengan bantuan makhluk-makhluk ghaib sambil (meyakinkan) mangsa ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, bomoh-bomoh tersebut kemudian akan ‘menghilangkan diri’ selepas menerima wang deposit, di mana mereka turut membuang akaun media sosial masing-masing agar tidak dapat dihubungi oleh mangsa.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menjadi lebih berhati-hati agar tidak terpedaya dengan penipuan seumpamanya yang boleh membawa kepada perbuatan syirik.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button