Hiburan

Ahli Silap Mata Malaysia Dapat Tepukan Gemuruh Di Britain’s Got Talent

Pada 2016, ahli silap mata Andre Lee dijemput untuk membuat sebuah persembahan di Australia. Dua hari sebelum siaran langsung di salah satu saluran TV Australia, dia mendapat tahu bahawa rumah ibu bapanya di Shah Alam terbakar pada awal pagi.

Kejadian itu, menurut Lee memaksa dirinya untuk keluar daripada zon selesanya. Disebabkan telah hilang segalanya dalam kebakaran tersebut, dia mengambil apa-apa peluang yang datang.

Salah satu daripada peluang tersebut adalah program televisyen Asia’s Got Talent (AGT) pada tahun lepas.

“Saya terpaksa mencipta rutin baharu kerana peralatan lama saya sudah tidak ada. Kekurangan tersebut memaksa saya untuk menjadi lebih kreatif,”

Untuk sesi uji bakatnya, Lee membuat persembahan silap mata kad yang mempunyai kejutan buat para hakim David Foster, Anggun dan Jay Park.

Tidak dinafikan bahawa program AGT tersebut meningkatkan populariti Lee di seluruh rantau Asia, lalu dia memutuskan untuk membuat lebih.

Pada awal tahun ini Lee telah menghadiri sesi uji bakat untuk Britain’s Got Talent (BGT) dan berjaya melepasi peringkat uji bakat itu.

Uji bakat tersebut disaksikan oleh empat personaliti British terkenal Simon Cowell, Amanda Holden, Alesha Dixon dan David Walliams.

Untuk sesi uji bakat tersebut Lee memilih untuk mempersembahkan rutin yang sama dari uji bakatnya di AGT. Persembahan itu mendapat tepukan gemuruh daripada kesemua para hakim, termasuk Simon Cowell.

“Perkara yang paling menyeronokkan daripada perjalanan saya adalah apabila saya membuat persembahan di hadapan Cowell dan menerima respons yang menggembirakan. Dan saya juga orang Malaysia yang pertama di dalam program itu!”

Hanya masa boleh menentukan jika dia berjaya melepasi peringkat separuh akhir BGT dan Lee berasa sangat gementar.

Untuk mengikuti perkembangan Lee, anda boleh mengikutnya di Instagram @andrewleemagic

Show More

Related Articles

Back to top button
Close