Isu SemasaSains

Kepentingan Bidang Sains Di Anak Tirikan?

Menjelang PRU-14 kelmarin, ramai cendekiawan dan para saintis telah menyuarakan pendapat mereka supaya parti politik memasukkan bidang sains dalam manifesto mereka.

Terdapat juga beberapa parti yang memasukkannya di dalam manifesto tetapi ada juga yang mungkin tidak mengambil berat tentang isu ini.

Rungutan Para Penyelidik Tempatan

Jika dari sudut para saintis dan tenaga pengajar di universiti-universiti Malaysia, ramai yang merungut apabila kekurangan bajet untuk melakukan penyelidikan.

Seperti penulisan Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim, Felo Akademi Sains Malaysia, sewajarnya dana penyelidikan diberikan lebih banyak kepada para penyelidik agar pembangunan negara berada di landasan yang betul, sejajar dengan visi negara membangun.

Perkara ini bukan sahaja dalam teknologi yang melibatkan penggunaan awam, tetapi ia harus difikirkan bersama dengan pembangunan bioteknologi untuk memangkin sektor agrikultur dan perubatan.

Kebimbangan Global Tetapi Kurang Penting Di Malaysia?

Pada masa kini, kebimbangan perubahan cuaca selalu diutarakan pada peringkat global dan menjadi tajuk utama.

Isu yang dibincangkan ialah adakah bumi kita ini masih mampan untuk manusia serta ancaman-ancaman yang sedang dan bakal dihadapi.

Malaysia juga tidak ketinggalan dengan ancaman sedemikian, iaitu perubahan cuaca yang tidak menentu, yang turut memberi kesan terhadap sektor agrikultur seperti kelapa sawit dan getah negara, serta impak dari peningkatan suhu.

Seharusnya kita bertanyakan beberapa perkara seperti:

  • Adakah jumlah air yang boleh kita gunakan sekarang tidak akan terjejas?
  • Sudah cukupkah penyelidikan yang kita ada untuk menghasilkan jenis beras bagi menampung keperluan kita sekiranya perubahan cuaca menjejaskan bekalan air negara.
  • Bagaimana pula dengan kawasan yang sering ditenggelami air? Adakah ia akan bertambah buruk? Sekiranya ya, apakah perkara yang harus dilakukan?

Semua perkara ini mungkin tidak dilihat sebagai isu utama seperti perbelanjaan harian, harga minyak dan harga rumah tetapi jika tidak diambil berat, ia bakal menjejaskan ekonomi negara dan kehidupan harian rakyat tanpa disedari.

Bagaimana Negara Maju Menangani Ancaman?

Menurut Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim lagi, negara berekonomi maju ini lebih fokus kepada pendidikan dan penyelidikan sebagai kunci strategi untuk menangani ancaman yang bakal dihadapi.

Negara-negara ini juga sangat berwaspada terhadap ancaman perubahan cuaca dan demografi yang bakal mengurangkan kemudahan harian manusia seperti air, makanan ruji dan sebagainya.

Ini menunjukkan keperluan untuk memberi penekanan kepada penyelidikan dan pendidikan negara.

Kepentingan Pendidikan dan Penyelidikan

Pendidikan bakal melahirkan modal insan yang baik untuk negara dan juga pakar yang bakal melakukan penyelidikan yang baik serta memberi idea yang bernas dan berinovasi.

Prof Ahmad Ibrahim berkata sebagai sebuah negara, kita telah melakukan banyak perkara dalam sektor pendidikan tetapi bagi sektor penyelidikan ianya sangat sedikit. Walhal kedua-dua perkara ini sangat penting untuk kebaikan negara.

Harapan Penyelidik Dengan Kerajaan Baharu

Berdasarkan penulisan Tan Sri Omar Abdul Rahman, Felo Senior di Akademi Sains Malaysia, bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) mendapat banyak kemajuan semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah beliau bersara pada tahun 2003.

Dengan kemunculan semula Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu, komuniti saintis juga melihat sinar baharu dengan harapan beliau akan melihat status lanskap STI yang sedang melemah dan berharap kepentingan STI dapat dititikberatkan semula pada masa terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button