AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Indonesia “Hidupkan” Semula Pasukan Khas Bagi Memerangi Keganasan

Unit Operasi Khas daripada tentera udara, darat, dan laut Indonesia akan memainkan peranan yang lebih besar dalam memerangi keganasan yang semakin berleluasa.

Pada Isnin, 21 Mei 2018, Ketua Turus Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Dr. Moeldoko mengesahkan bahawa pasukan khas tentera, yang dikenali sebagai Koopssusgab telah diaktifkan semula.

Langkah ini dilaksanakan susulan serangan pengganas yang menyasarkan gereja-gereja serta balai polis di seluruh Indonesia.

Memetik laporan Straits Times, Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga telah memberi lampu hijau kepada TNI untuk terus membantu dan menyokong pihak polis dalam misi anti-keganasan dalam negara.

Koopssusgab mula ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Moeldeko ketika beliau memegang jawatan komander TNI bagi meningkatkan usaha dalam membanteras kebangkitan militan IS.

Tetapi, ia telah ditutup berikutan kritikan dan kecaman oleh kumpulan hak asasi manusia yang meluahkan kebimbangan jika tentera akan menyalahguna kuasa mereka.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana Koopssusgab akan dikuatkuasakan, tetapi terdapat petanda yang menunjukkan bahawa ia akan dimodelkan berdasarkan pasukan khas tentera Amerika Syarikat, iaitu Joint Special Operations Command (JSOC).

JSOC merupakan pasukan yang bertanggungjawab di sebalik pembunuhan Osama Bin Laden pada tahun 2011.

Seperti JSOC, Koopssusgab terdiri daripada unit elit operasi khas Indonesia daripada semua tiga cawangan tentera seperti Kopassus (tentera darat), Kopaska (tentera laut) dan Detachment Bravo-90 (tentera udara).

Moeldoko berkata, pasukan ini akan diketuai oleh ketua TNI Hadi Tjahjanto, yang akan bekerjasama dengan ketua polis negara, Tito Karnavian apabila pasukan mereka mula dikerahkan.

Pada 13 Mei, sebuah keluarga pengganas melancarkan serangan bom berani mati yang mengorbankan kira-kira 14 orang, manakala 41 lagi tercedera.

Keluarga tersebut terdiri daripada sepasang suami isteri, serta empat orang anak (termasuk anak perempuan) yang berusia di antara 8 sehingga 18 tahun.

Difahamkan, keluarga tersebut merupakan sebahagian daripada gerakan militan yang dikenali sebagai Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang telah bersumpah taat setia dengan militan IS.

Tidak cukup dengan itu, sebuah lagi kes pengeboman berani mati dilancarkan pada hari seterusnya ke atas ibu pejabat polis di Surabaya, yang melibatkan empat orang pengebom.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button