Hiburan

Senario PRU14 Bakal Ke Layar Perak

Tidak syak lagi bahawa pilihan raya umum ke-14 telah menarik minat banyak pihak untuk mengikutinya dengan teliti. Walaupun hampir dua minggu telah berlalu, arena politik negara masih lagi hangat dengan pelbagai agenda dari kerajaan baharu negara.

Dan pasti ramai juga yang akan bersetuju bahawa kelainan dan perubahan yang kita saksikan sejak 9 Mei lalu pasti akan membuat filem epik yang hebat yang dapat menyaingi produksi Bollywood atau Hollywood.

Pengarah terkenal, Mamat Khalid dalam laporan berita baru-baru ini mengatakan bahawa senario politik sekitar PRU14 telah memberi inspirasi kepadanya untuk mengarahkan filem komedi.

Pengarah Mamat Khalid

“Saya sudah mempunyai naskah untuk projek ini, tetapi saya takut ia mungkin menberi masalah saya.

“Filem ini akan memberi tumpuan kepada rakyat Malaysia yang teruja dalam melaksanakan hak mereka pada hari pemilihan baru-baru ini,” kata Mamat yang berusia 55 tahun itu.

Pengarah kelahiran Ipoh yang dikenali menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Kampung pada 2010 berkata walaupun filem baru itu bergenre komedi, ia akan diselitkan dengan mesej positif.

Menurutnya, keadaan pusat mengundi yang ramai walaupun diadakan pada hari Rabu menunjukkan satu tanda yang baik di mana rakyat tidak melepaskan peluang untuk menunaikan kewajipan masing-masing sebagai rakyat Malaysia.

“Kelainan yang dilihat kali ini adalah dari segi ‘mood’ dan apa yang saya suka apabila kedua-dua pihak antara kerajaan dan pembangkang masing-masing menghujahkan bagaimana untuk mentadbir negara jika mereka dipilih lagi atau mereka dilantik.

“Yang bagusnya PRU kali ini, manifesto yang dijanjikan akan menguntungkan kita (rakyat), tidak kiralah pihak mana tetapi yang pentingnya menguntungkan kita…itu petanda baik,” katanya.

Beliau yang sudah kali keempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, mengundi bagi kawasan Parlimen Gopeng dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Ipoh.

Menurut NST, Mamat juga akan menyelitkan unsur pengajaran membabitkan penceritaan bagaimana tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan tanggungjawab sebagai pemimpin yang lebih besar serta berharap ia mendapat sambutan kelak.

“Dengan masyarakat sekarang ini yang lebih maju dan lebih faham, saya akan buat juga cerita undi ini yang saya rasa banyak insiden yang lucu mencerminkan bagaimana kita rakyat begitu ghairah memilih tampuk kepimpinan baru,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button