AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pemimpin-Pemimpin Dunia Yang Menjadi PM Lebih Daripada Sekali

Susulan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ketujuh, sekali gus menjadi pemimpin pertama dalam negara untuk memegang jawatan itu sebanyak dua kali.

Sebelum ini, beliau pernah mentadbir negara selama 22 tahun sebagai perdana menteri yang keempat, dan kini berusia 93 tahun, beliau juga adalah perdana menteri yang tertua di dunia.

Tun Dr. Mahathir Mohamad – Sumber Imej: deenamik.com

Diberi gelaran “Bapa Pemodenan”, Dr. Mahathir telah mengubah Malaysia menjadi negara perindustrian moden serta mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa sepanjang tempoh pemerintahannya.

Selain beliau, terdapat juga ahli-ahli politik lain di serata dunia yang menjadi pemimpin tertinggi di negara masing-masing lebih daripada sekali, seperti yang dipetik oleh laporan The Star:

1. WINSTON CHURCHILL

Winston Churchill – Sumber Imej: www.39clues.wikia.com

Winston Churchill merupakan salah seorang pemimpin yang paling dihormati dan disegani bukan sahaja di Britain, malah di seluruh dunia.

Beliau berjaya memimpin Britain yang berada di ambang kekalahan sehingga mencapai kemenangan di dalam Perang Dunia Kedua (WW2).

Pada tahun 1940, beliau dilantik menjadi perdana menteri negara itu, namun terpaksa melepaskan jawatan itu apabila tewas dalam pilihan raya 5 tahun kemudian.

Tetapi, Churchill bangkit semula pada tahun 1951 dan mentadbir semula Britain sebagai perdana menteri bagi penggal yang kedua.

Walau bagaimanapun, beliau telah meletak jawatan beberapa tahun selepas itu berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

2. SHINZO ABE

Shinzo Abe – Sumber Imej: www.euronews.com

Shinzo Abe telah melakar sejarah apabila menjadi perdana menteri Jepun yang termuda ketika dipilih untuk memegang jawatan itu ketika berusia 52 tahun, pada tahun 2006.

Sebagai anak kepada bekas menteri luar dan juga cucu bekas perdana menteri negara itu, Abe dilihat seolah-olah sudah ditakdirkan untuk berada dalam arena politik.

Tetapi hanya setahun selepas menjadi pemimpin, beliau melepaskan jawatannya apabila terpalit dengan pelbagai skandal, kekecewaan politik, serta masalah kesihatan.

Namun pada tahun 2012, Abe membuat ‘comeback’ secara mengejut dan berjaya memenangi semula hati rakyat untuk memimpin Jepun.

Beliau turut berikrar untuk memulihkan ekonomi negara menerusi program “Abenomics” yang diperkenalkan olehnya.

Menurut Abe, beliau mendapat semangat dan inspirasi untuk kembali semula ke dalam dunia politik setelah membaca biography Winston Churchill yang berjudul “Never Despair.”

3. SILVIO BERLUSCONI

Silvio Berlusconi – Sumber Imej: www.echo.net.au

Jutawan dan taikun media Itali, Silvio Berlusconi amat berbeza dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain kerana pernah memegang jawatan perdana menteri sebanyak tiga kali walaupun terbabit dalam pelbagai skandal dan masalah undang-undang.

Beliau pertama kali dilantik sebagai pemimpin Itali pada tahun 1994, namun hanya mentadbir negara itu selama dua tahun.

Berlusconi kemudian kembali berkuasa pada tahun 2001, tewas pada 2006, dan menjadi perdana menteri semula dua tahun kemudian.

Walau bagaimanapun, kepimpinannya tidak kekal lama berikutan krisis kewangan dan skandal seks yang membabitkan dirinya.

4. BENJAMIN NETANYAHU

Benjamin Netanyahu – Sumber Imej: www.timesofisrael.com

Benjamin Netanyahu, perdana menteri Israel, merupakan salah seorang pemimpin yang paling berkontroversi di dunia.

Beliau menjadi perdana menteri negara itu yang termuda pada tahun 1996, tetapi digulingkan oleh pihak pembangkang, Parti Buruh tiga tahun kemudian.

Pada tahun 2002, Netanyahu kembali semula dalam pentadbiran kerajaan dengan memegang jawatan menteri di bawah pimpinan parti berhaluan kanannya, dan selepas itu menjadi pemimpin Israel buat kali kedua pada 2009.

Sejak itu, beliau telah diberi gelaran “King Bibi”, dan kini menjadi perdana menteri kedua negara itu yang memerintah paling lama walaupun terbabit dalam pelbagai siri skandal rasuah serta dikritik oleh masyarakat dunia kerana menindas rakyat Palestin.

 

 

Sumber Imej Terencana: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button