AntarabangsaIsu Semasa

Walaupun Hubungan Bertambah Baik, Penggodam Korea Utara Masih ‘Serang’ Selatan

Pertemuan bersejarah di antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan presiden Korea Selatan, Moon Jae-in ternyata telah memperbaiki hubungan di antara kedua-dua negara itu.

Walau bagaimanapun, seorang pakar di Seoul mendedahkan bahawa tentera siber Pyongyang masih lagi melakukan ‘serangan’ ke atas negara jiran mereka.

Memetik laporan Straits Times, Choi Sang Myung, pengarah syarikat perisian Hauri Inc serta penasihat kepada Perkhidmatan Perisikan Korea Selatan telah memantau kegiatan kumpulan penggodam berkenaan.

Beliau berkata, Korea Utara terus ‘mengasah’ pasukan penggodam elitnya dan menghantar mereka ke luar negara seperti China dan India untuk belajar ilmu menggodam daripada pakar.

“Susulan suasana damai di antara kedua-dua Korea, Utara tidak lagi menyerang Selatan menerusi laut, udara atau darat.

“Tetapi serangan mereka masih meneruskan serangan di ruang siber dan mengumpul data,” kata Choi sambil menambah bahawa beliau juga mempunyai sedikit keraguan dengan ‘kemesraan’ Pyongyang.

Walaupun serangan masih berterusan, Choi juga tidak menafikan bahawa ia telah berkurangan, namun jumlah tentera siber masih kekal ramai dan mereka mungkin akan mencari sasaran lain seperti Asia Tenggara serta Jepun.

Selain itu, penggodam Korea Utara disyaki menjadi dalang disebalik serangan virus WannaCry pada tahun lepas yang melumpuhkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di seluruh dunia.

Mereka juga dilaporkan telah mencuri wang maya bernilai 26 bilion won (RM 95.6 juta) hasil daripada serangan ke atas dua bursa mata wang kripto Korea Selatan pada tahun lepas.

Difahamkan, salah satu bursa mata wang kripto yang terbesar di Jepun turut menjadi mangsa apabila penggodam mencuri 58 bilion yen (RM 2.07 bilion) pada bulan Januari 2018.

Jelas Choi, ancaman siber Korea Utara kini berada pada tahap yang terlalu kuat sehingga syarikat-syarikat teknologi global seperti Microsoft dan Adobe turut merasai ‘kehangatannya’.

Kedua-dua gergasi teknologi itu juga dikatakan telah pergi ke Korea Selatan untuk mempelajari taktik Korea Utara dan kemudian membina sistem pertahanan khas sebagai perlindungan daripada ancaman Pyongyang.

“Ramai orang ingat Korea Utara ketinggalan zaman dari segi penembusan internet, tetapi (pada hakikatnya) mereka menghantar saintis ke luar negara untuk belajar dan memberi akses internet kepada pelajar supaya dapat menimba ilmu penggodaman siber,” tegas Choi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker