AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

Rakyat Thailand Bantah Pemerintahan Tentera

Empat tahun lalu, tentera Thailand telah mengambil alih tampuk pemerintahan negara itu dengan menggulingkan kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra.

Pihak tentera yang juga dikenali sebagai National Council for Peace and Order (NCPO) menyatakan bahawa penggulingan itu perlu dilakukan bagi menghentikan keganasan yang sudah berlarutan selama beberapa bulan dan untuk membasmi rasuah yang dikatakan telah mencemarkan Thailand selama berdekad-dekad.

Dalam pada itu, NCPO turut berikrar untuk memulihkan negara itu dan mengembalikannya kepada pemerintahan demokratik dalam tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun, janji tersebut tidak dikotakan dengan baik dan mereka masih lagi memerintah Thailand walaupun sudah empat tahun berlalu.

Bukan itu sahaja, malah berdasarkan tinjauan pendapat domestik dan antarabangsa, kerajaan pimpinan tentera kini sedang menghadapi krisis persepsi awam dan gejala rasuah masih lagi berleluasa.

NCPO juga telah menangguhkan pilihan raya umum buat beberapa kali, dan tarikh terkini yang ditetapkan adalah bulan Februari 2019.

Namun memetik laporan Reuters, segelintir penganalisis berpandangan bahawa terdapat kemungkinan tarikh pilihan raya akan ditangguhkan.

RASUAH MASIH BERLELUASA

Selain daripada isu rasuah, NCPO juga telah berjanji untuk menyelesaikan segala masalah sejak mereka mula berkuasa, daripada ‘mafia teksi’ sehingga pembalakan hutan secara haram.

Yingcheep Atchanont, seorang pengurus program daripada iLaw, sebuah kumpulan pemantau undang-undang berkata, parlimen yang disokong tentera telah meluluskan 298 undang-undang dan NCPO pula mengeluarkan lebih daripada 500 arahan sejak tahun 2014.

Jelas Yingcheep, mereka juga telah melakukan “perubahan besar” dalam sistem undang-undang negara.

Tetapi sejak beberapa bulan yang lalu, rakyat Thai telah mengadakan protes besar-besaran di Chiang Mai bagi membantah pembinaan projek perumahan mewah kerajaan di tanah perhutanan.

Selain itu, kerajaan NCPO turut disiasat oleh agensi anti-rasuah kerana disyaki menyalahguna dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin bernilai kira-kira 129 juta baht (RM 15.9 juta).

“Mereka (tentera) mengumumkan untuk menangani rasuah apabila mula berkuasa sejak empat tahun lalu, tetapi mereka gagal,” katanya.

Indeks Persepsi Rasuah 2017 pula memberikan markah yang rendah kepada Thailand, iaitu 37 daripada 100.

Namun pada masa yang sama, Mana Nimitmongkol, setiausaha agung bagi sebuah badan bebas yang memantau kegiatan rasuah, kerajaan tentera telah berjasa lebih banyak dalam membanteras rasuah berbanding mana-mana kerajaan lain dalam sejarah Thailand.

TENTERA KUKUHKAN KEDUDUKAN DALAM POLITIK

Sejak permulaan tahun 2018, ramai rakyat telah mengadakan tunjuk perasaan kerana berang dengan tindakan kerajaan yang sudah beberapa kali menangguhkan pilihan raya umum.

Difahamkan, tarikh pilihan raya telah ditetapkan pada bulan Februari 2019, tetapi menurut bekas pesuruhjaya pilihan raya, Somchai Srisutthiyakorn, ia mungkin akan ditangguhkan selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun tersebut.

Parti Pheu Thai yang digulinggkan oleh tentera pada 2014 berkata, NCPO dilihat sedang berusaha untuk melanjutkan tempoh pemerintahan dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena politik Thailand.

Langkah tersebut termasuk memperkasakan lagi badan kehakiman, perkhidmatan awam, dan organisasi bebas, manakala parti politik dan masyarakat sivil pula dilemahkan.

“NCPO telah menggunakan kuasa mreka untuk mengekalkan dan melanjutkan kuasa untuk diri sendiri dan rakan-rakan mereka selama yang mungkin,” kata parti itu dalam satu kenyataan.

RAKYAT SUDAH HILANG SABAR

Walaupun tentera kerap berjanji untuk “mengembalikan kebahagiaan kepada rakyat Thai”, sesetengah penduduk tempatan menyatakan bahawa mereka sudah mula hilang ssabar.

Kebanyakan demonstrasi yang berlaku diketuai oleh aktivis-aktivis muda, dan terdapat juga protes yang dipimpin oleh kumpulan lain yang mewakili golongan petani serta orang miskin.

“Tentera mula berkuasa, menutup mulut rakyat, (dan) melakukan semua perkara mengikut cara mereka. Jadi kami (rakyat) tidak gembira,” kata

Pada bulan Februari, kira-kira 400 orang telah berkumpul di Monumen Demokrasi mendesak  kerajaan tentera agar mempercepatkan pelaksanaan piliihan raya.

“Kami jijik dengan (pemerintahan) diktator,” merupakan antara ayat yang dipamerkan menerusi papan tanda yang dibawa oleh penunjuk perasaan.

“NCPO (kerajaan tentera Thailand) sepatutnya mengadakan pilihan raya pada bulan November 2018, bukan menangguhkannya kepada Februari 2019.

“Encik Prayuth (Perdana Menteri), bolehkah anda mendengar suara-suara rakyat?”, kata seorang wakil demonstrasi yang dikenali sebagai Sasiphat Siri.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker