AntarabangsaBudaya

Islam Di Albania: Merangkak Menerjah Tembok Sekularisme

Albania ialah sebuah negara di barat laut Greece yang boleh dianggap sebagai model kekentalan warga Muslim di Eropah.

Ini kerana lakaran sejarah Islam di negara itu penuh dengan kehibaan, yang membuktikan kecekalan jiwa warga Muslim di sana mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama dari kerakusan sistem sekularisasi.

Bagaimanakah ceritanya?

SEJARAH KEDATANGAN ISLAM

Di Albania yang berpopulasi tidak sampai 3.1 juta penduduk, Islam berkembang dan merosot melalui sebuah proses sejarah yang rumit, menyaksikan pertembungan antara agama dengan sistem pemerintahan sekular.

Islam di Albania berkembang melalui jasa dan bakti kekhalifahan Uthmaniyah.

Sepanjang era perkembangan empayar, kerajaan Uthmaniyah berjaya meluaskan kekuasaan sehingga ke kawasan yang kini dikenali sebagai Albania (circa 1400-an).

Sebuah perhimpunan para ahli falsafah Islam (sufi) di Albania sewaktu era Uthmaniyah

Sebagai sebuah vessel state (wilayah jajahan), tempoh pemerintahan Uthmaniyah menyaksikan majoriti penduduk krisitian negara itu akhirnya memilih untuk memeluk Islam secara sukarela.

Ini dapat dilihat melalui bancian tahun 1930 yang mendedahkan bahawa hampir 70% daripada keseluruhan populasi di sana memilih agama Islam sebagai anutan dan kepercayaan.

JARUM HALUS SEKULARISME

Namun, segala tentang Islam di Albania mula berubah apabila kekhalifahan Uthmaniyah dilupuskan melalui Perang Dunia Pertama (WW1).

Selepas perang itu, Uthmaniyah yang kalah telah dihukum melalui sebuah perjanjian bernama Perjanjian Sevres.

Perjanjian itu yang dimeterai sewaktu Persidangan Damai Paris 1919, mendesak agar sistem kekhalifahan dihapuskan, seterusnya memecah belahkan empayar itu kepada negara-negara bangsa yang kecil.

Delegasi Uthmaniah di Perjanjian Damai Paris 1919

Hilangnya kekhalifahan menyaksikan Albania memilih untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan menurut penulis Inga Strautina dalam hibamagazine.com, pada 1923 Kongres Muslim Albania bersetuju untuk memisahkan negara itu dari sistem khalifah. Tidak sekadar itu, mereka turut: –

  1. Memansuhkan penguatkuasaan solat berjemaah
  2. Menghapuskan sistem poligami
  3. Menarik larangan berhijab yang dahulunya dikuatkuasakan

SEKULARISME BERSATU DENGAN KOMUNISME

Menjelang abad ke-20, ibarat jatuh ditimpa tangga, Albania yang dahulunya kehilangan khalifah telah tumbang ke tangan komunis pula.

Rejim totalitarian ini menjarah rakus kesucian agama Islam di negara itu.

Poster memaparkan fahaman komunisme di Albania, yang memanipulasikan “hak orang bawahan (kumpulan pekerja)” demi mencapai agenda komunis

Masjid-masjid diarahkan supaya ditutup, dan digantikan dengan pusat kebudayaan yang mempromosikan fahaman sekularisme (memisahkan agama dari pemerintahan dan politik).

Segala upacara keagamaan juga dihapuskan, bahkan para imam turut dipenjarakan dan dipaksa untuk murtad.

Akhirnya pada 1967, Albania diiktiraf sebagai negara atheist (tiada agama), dan merupakan negara pertama seumpamanya di dunia waktu itu.

Kesannya: –

  1. Islam bukan lagi agama yang dibenarkan untuk diamalkan secara terbuka
  2. Kanak-kanak dilarang dari diajarkan dengan ilmu dan ajaran agama Islam
  3. Tiada kitab-kitab suci termasuk Al-Quran dibenarkan, dan sekiranya pihak berkuasa menjumpainya, maka si pemilik boleh dipenjarakan.
Antara poster lain komunis di Albania

ISLAM PASCA KOMUNISME

Akhirnya, pada tahun 1991, fahaman Comintern (Communist International) telah runtuh seusai runtuhnya USSR (Union of Soviet Socialist Republics). Era ini menyaksikan dunia akhirnya bebas dari cengkaman kejam komunis.

Keruntuhan komunis di Albania pada 1991 ditandai dengan persitiwa meruntuhkan tugu diktator komunis Enver Hoxha

Hal itu juga membentuk sistem pemerintahan bersifat demokratik di dunia, termasuk di Albania.

Sungguhpun begitu, legasi kezaliman komunis masih menghantui minda warga negara mereka.

Walaupun kini mereka bebas mengamalkan sebarang agama, namun menurut hibamagazine lagi, kebebasan itu – yang diracuni paranoia akibat komunisme – akhirnya membentuk kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

Mereka merasa keliru tentang satu-satu agama, serta apakah yang agama itu boleh tawarkan.

Akibatnya, kini 70% dari warga Albania memilih untuk menganuti fahaman atheist (tidak beragama), dan ruang vakum itu dipenuhi oleh wakil agama yang berbeza untuk mengembangkan ajaran dan meningkatkan jumlah pengikut masing-masing.

ISLAM PADA MASA KINI

Kini, Islam di Albania kembali bangkit dari puing kejatuhannya.

Menurut  CIA World Fact Book, sehingga tahun 2017, Islam merupakan agama majoriti di Albania (56.7%), diikuti oleh Katolik Roman (10%) dan Kristian Ortodok (6.8%).

Muslim di Albania pada masa kini

Namun, sejauh manakah kesucian Islam dapat dijamin, dalam era globalisasi masa kini, yang dipenuhi ancaman-ancaman yang lebih halus berbanding komunisme?

Hanya masa yang dapat menentukannnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker