Isu SemasaTempatan

Harga Kediaman RM300,000 Ke Atas Bukan “Mampu Milik”

Awal bulan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa rumah yang berharga RM 300,000 ke atas tidak tergolong dalam kategori “mampu milik”.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi memberi respon kepada laporan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), yang berkata bahawa harga rumah mampu milik adalah di antara harga RM 300,000 dan RM 500,000.

Menurut BNM, harga maksimum sebuah rumah mampu milik diangggarkan bernilai RM 282,000 memandangkan pendapatan isi rumah golongan pertengahan pada tahun 2016 mencatatkan RM 5,228.

Statistik tersebut adalah berdasarkan Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Rumah dalam lingkungan harga antara RM 300,000 hingga RM 500,000 melebihi kemampuan isi rumah yang memperoleh pendapatan sederhana di Malaysia,” jelas BNM di laman sesawang FactWatch.

Memetik laporan Bernama, BNM turut menyatakan bahawa data suku keempat tahun 2017 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), mendapati terdapat hanya 39% pelancaran hartanah baru dalam tempoh 2016 hingga 2017 yang berharga sehingga RM 300,000.

“Pelancaran hartanah baharu itu tidak mencukupi untuk menampung permintaan sebanyak 50% daripada isi rumah di Malaysia yang berpendapatan pertengahan ke bawah.

“Data juga menunjukkan bahawa isu rumah tidak terjual berharga di bawah RM300,000 adalah yang paling kurang berbanding rumah dengan julat harga lain,” katanya.

Dalam pada itu, pada suku keempat 2017, 20% unit rumah berharga di bawah RM 300,000 tidak dijual, manakala 30% adalah hartanah bernilai di antara RM 300,000 – RM 500,000, diikuti rumah RM 500,000 ke atas (45%).

BNM berkata, kewujudan pangkalan data bekalan dan permintaan perumahan bersepadu adalah penting berikutan cabaran dalam mengenal pasti titik harga yang betul di lokasi yang sesuai untuk bekalan perumahan baharu.

“Ia adalah untuk memastikan penawaran perumahan baru disesuaikan dengan pendapatan dan profil demografi isi rumah di pelbagai lokasi,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker