AntarabangsaBudaya

Muslim Di Asia Tenggara: Cambodia

Bercakap tentang Kemboja semestinya mengimbau memori hitam negara itu sewaktu di bawah rejim kejam Pol Pot di bawah kerajaan Khmer Rouge pada dekad 1970-an. Rejim berfahaman Marxist – Komunis itu telah menghapuskan Kemboja secara total menjadi negara gagal (failed state).

Era komunis Khmer Rouge telah meranapkan Kemboja secara total menjadi sebuah negara gagal (failed state)

Namun, lembaran sejarah yang baru menyaksikan Kemboja mulai bangkit selepas keruntuhan rejim Khmer Rouge itu.

Serentak itu juga, polisi Khmer Rouge yang memansuhkan agama kini tidak lagi berkuatkuasa, dan warga Kemboja masa kini bebas mengamalkan agama masing-masing.

ISLAM DI KEMBOJA

Meskipun agama Buddha merupakan agama utama dan rasmi di Kemboja, warga mereka bebas menganuti agama lain tanpa diskriminasi.

Antaranya termasuklah agama Islam.

Warga Muslim membentuk sekitar 2.3% daripada keseluruhan populasi Kemboja yang berjumlah 15.76 juta orang.

Jumlah itu terdiri dari dua kelompok yang berbeza, iaitu Muslim Cham/Champa dan Muslim Chia.

FAHAMAN ISLAM YANG BERBEZA

Dua kelompok itu menganuti dua fahaman yang berbeza. Menurut Said Sary Abdullah, Presiden Pertubuhan Islam Kemboja, beliau memaklumkan bahawa dua fahaman itu terdiri daripada: –

  1. Sunnah: Fahaman yang bersusur galur dari pendakwah Arab, yang antaranya mengamalkan solat 5 kali sehari
  2. Fojihed: Ini adalah kaum Muslim yang bersusur galur dari kerajaan Cham kuno, Mereka cuma bersolat sebanyak sekali sahaja seminggu. Mereka turut bertutur dalam bahasa Cham, di samping mengekalkan budaya dan ketamadunan Cham kuno. Ini bermakna, mereka masih mengekalkan budaya pra-Muslim dalam kehidupan, termasuk mempercayai perkara khurafat seperti ilmu hitam dan kuasa ajaib bergelar “chai“.
Warga Muslim di Kampung Cham yang mengusahakan perusahaan menenun sutera

ISU BAHASA DAN TERJEMAHAN AL-QURAN

Menurut Sary Abdullah lagi, oleh kerana bangsa Cham tidak memiliki satu sistem penulisan dan bahasa yang standard, itu menyukarkan mereka menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa mereka.

Berkata kepada wartawan laman web Mekong.net, Sary dipetik menyebut: –

“Memandangkan kami (Cham) tidak mempunyai sistem bahasa yang rapi, oleh itu Al-Quran terpaksa diterjemah kepada bahasa Khmer. Ianya proses yang memakan masa, kerana kami kekurangan sumber kewangan (untuk melakukan proses terjemahan).”

Ini merupakan realiti yang berlaku di kalangan warga muslim Cham yang rata-rata mendiami kawasan Kampung Cham.

ISLAM DI PHNOM PENH

Namun, keadaan itu agak berbeza di Phnom Penh.

Pusat bandar Kemboja itu kini merupakan kawasan yang pesat membangun, terima kasih kepada pelabur-pelabur luar terutama dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia termasuk Korea Selatan dan Jepun.

Islam di pusat bandar Phnom Penh nampaknya tidak mengalami kesukaran untuk berasimilasi dan bangkit bersama komuniti lain. Ini kerana keadaan ekonomi yang membangun pesta di sana turut dapat dinikmati oleh warga Kemboja yang beragama Islam.

Siapakah mereka?

Mereka terdiri dari kalangan warga Cham, warga Chia serta komuniti Islam dari luar negara terutama Asia Timur seperti Pakistan dan India serta Asia Barat.

Komuniti Muslim ini telah membuka kedai-kedai makanan halal, dan dalam masa yang sama terlibat dalam usaha dakwah.

Perusahaan dan perniagaan mereka mudah didapati di pusat bandar terutama kawasan Sisowath Quay.

Antara kedai halal yang menjual makanan bercirikan India di Phnom Penh

ISLAM DALAM KOMUNITI BUDDHA

Sebagai agama yang universal dan mulia, Islam diterima dengan baik oleh kebanyakan warga Buddha di Kemboja.

Kenyataan ini dibuktikan apabila melihatkan sambutan mereka terhadap sektor-sektor penting yang ditawarkan oleh komuniti Islam terutama produk dan servis makanan.

Kini dapat dilihat bahawa kedai-kedai menjual makanan halal di Kemboja disambut baik bukan sahaja oleh warga Buddha tempatan bahkan juga oleh pelancong asing.

Antaranya termasuklah sebuah kedai halal di dalam kawasan lapangan terbang utama Phnom Penh iaitu Pho 24, yang menyaksikan ramai orang berpusu-pusu ke sana bagi menikmati keenakan makanan halal bercirikan Kemboja yang sarat dengan rempah yang wangi dan harum.

Restoran halal Pho 24 yang terletak dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker