Politik

Kerk Chee Yee Exco Negeri Termuda Dalam Negara

Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Kerk Chee Yee kini merupakan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) termuda di negara ini.

Berusia 26 tahun, Chee Yee mempunyai kelulusan dalam bidang perdagangan dari University of Melbourne, telah ditugaskan untuk memegang Portfolio Komunikasi, Multimedia, Belia dan Sukan negeri.

Beliau adalah anak kepada kerk Kim Hock, bekas setiausaha agung DAP yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu pada usia 61 tahun.

Chee Yee telah mengangkat sumpah di Seri Negeri di Melaka semalam bersama sembilan ahli exco lain dalam kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Menurut The Star, lima anggota Dewan Undangan Negeri (DAP) adalah antara 10 exco negeri yang mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Selain Chee Yee, mereka adalah pengerusi DAP negeri Tey Kok Kiew, yang akan memegang Portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, G. Saminathan (Perpaduan, NGO, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna), Norhizam Hassan Baktee (Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Low Chee Leong (Kesihatan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain, Muhammad Jailani Khamis (Pelancongan, Warisan dan Budaya) PKR, Ginie Lim Siew Lin (Pembangunan dan Kebajikan Wanita), manakala Mohd Rafiq Naizamohideen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia memegang Portfolio Industri, Perdagangan dan Pelaburan. Rakannya Nor Fendi Ahmad menjaga Portfolio Pendidikan.

Mohd Sofi Abd Wahab dari Parti Amanah Negara ditugaskan untuk memegang bahagian Kerja Awam, Pengangkutan dan Kemudahan Awam.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, yang mengangkat sumpah jawatannya pada Jumaat lepas, adalah dari parti Amanah. Beliau turut memegang Portfolio Ekonomi, Kewangan, Tanah dan Agama.

PKR memenangi tiga kerusi DUN dalam PRU14 manakala Bersatu dan Amanah memenangi dua kerusi masing-masing. Pakatan Harapan Melaka berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 15 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

BN yang sebelum ini memerintah kerajaan negeri itu, kalah buat kali pertama dan hanya memenangi 13 kerusi DUN manakala Pas gagal meraih sebarang kemenangan di negeri itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker