AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kerajaan Jepun Mahu Lebih Ramai Wanita Sertai Politik

Arena politik Jepun dijangka akan menyaksikan penglibatan lebih ramai wanita pada masa akan datang apabila parlimen negara itu telah meluluskan sebuah undang-undang baru bagi menggalakkan kaum hawa untuk bertanding dalam pilihan raya.

Difahamkan, Jepun merupakan sebuah negara yang tidak mempunyai ramai wakil wanita di dalam bidang politik.

Seperti yang tertakluk di bawah undang-undang baru tersebut, parti-parti politik digesa untuk memastikan bilangan calon lelaki dan wanita adalah sama rata, serta kesamarataan jantina dalam aspek-aspek lain.

Namun sekiranya gagal berbuat demikian, tiada sebarang tindakan atau denda yang akan dikenakan terhadap pihak yang terbabit.

Memetik laporan AFP, Perdana Menteri Shinzo Abe telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang, termasuk tenaga kerja.

Ia merupakan sebahagian daripada dasar-dasar ekonominya bagi menangani kekurangan tenaga buruh memandangkan sebilangan besar populasi negara itu terdiri daripada golongan tua.

Menurut Kesatuan Inter-Parlimen, jumlah wakil wanita di dalam parlimen Jepun hanya mencatatkan 10.1% atau 47 daripada 465 ahli parlimen.

Di dalam Global Gender Gap Report yang terkini dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia, Jepun berada pada kedudukan yang ke-114 dalam kalangan negara-negara G7.

Termasuk Jepun, G7 merupakan negara-negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi pesat dan maju iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada, Perancis, Itali, dan Jerman.

“Saya berharap undang-undang baru ini akan membawa perubahan yang besar di dalam politik Jepun.

“Saya juga berharap agar para wanita yang sebelum ini mungkin berasa ragu-ragu (untuk menyertai dunia politik) akan menjadi berani dan bertanding dalam pilihan raya,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negara, Seiko Noda.

Media tempatan, NHK melaporkan bahawa Noda merupakan salah seorang anggota yang terlibat dalam merangka undang-undang baru tersebut.

Tahun depan, Jepun akan mengadakan pilihan raya serantau pada bulan April 2019, manakala pilihan raya bagi Dewan Negara pula akan berlangsung pada Julai pada tahun yang sama.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker