AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Cabaran Logistik Sidang Kemuncak Trump-Kim Di Singapura

Sidang kemuncak di antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal diadakan di Singapura pada bulan Jun.

Singapura telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak bersejarah ini memandangkan ia adalah lokasi ideal.

Republik itu juga mempunyai rekod diplomatik yang baik kerana pernah menganjurkan sidang kemuncak penting di antara China dan Taiwan pada tahun 2015.

Sehubungan dengan itu, berikut adalah sebab-sebab lain mengapa Kim dan Trump bersetuju untuk bertemu di Singapura:

KOREA UTARA

1. Singapura adalah sebuah negara yang stabil dan keselamatan juga berada pada tahap yang baik

2. Hubungan diplomatik Singapura dengan Korea Utara telah terjalin sejak tahun 1975

3. Singapura terletak kira-kira 4,800 km dari Korea Utara, dan jarak ini sesuai untuk pesawat era Soviet milik Kim model Ilyushin-62M (II-62M), yang diberi nama “Air Force Un”

4. Peraturan media yang ketat di Singapura akan menjadikan keadaan lebih terkawal, dan ini disukai oleh Korea Utara

5. Sehingga tahun 2016, rakyat Korea Utara tidak memerlukan visa untuk melawat Singapura

AMERIKA SYARIKAT

1. Hubungan diplomatik AS dan Singapura bertambah erat selepas menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada tahun 2003

2. Pada tahun 2012, pentadbiran bekas presiden Barack Obama telah menaik taraf status Singapura kepada rakan kongsi strategik

3. Kedua-dua negara telah meningkatkan lagi perjanjian keselamatan pada tahun 2015

CABARAN LOGISTIK

Walau bagaimanapun, sidang kemuncak itu dijangka akan menghadapi cabaran logistik, memandangkan Kim dijangka akan menggunakan pesawat II-62M serta pesawat kargo Ilyushin-76 (Il-76) yang sudah usang untuk membawa beliau, limosin, serta puluhan kakitangan dan anggota keselamatannya ke Singapura.

Memetik laporan Reuters, Kim pernah mengadakan lawatan ke luar negara menerusi perjalanan udara sekali sahaja sejak menjadi pemimpin Pyongyang pada tahun 2011,

Lawatan tersebut pula baru sahaja diadakan pada minggu lepas ke Dalian di China untuk bertemu dengan Presiden Xi Jinping.

Pesawat II-62M itu mula diperkenalkan pada tahun 1970-an, mempunyai empat enjin, dan jarak perjalanan maksimumnya adalah 10,000 kilometer.

Namun begitu, pesawat kargo Kim tidak boleh terbang lebih daripada 3,000 kilometer tanpa mengisi minyak sekiranya ia membawa muatan penuh.

Difahamkan, Kim akan membawa puluhan kakitangan keselamatan serta peralatan, termasuk tandas peribadi khas untuk dirinya.

Oleh yang demikian, beliau perlu memilih sama ada untuk berhenti mengisi minyak di Vietnam atau membawa muatan yang lebih sedikit untuk ke Singapura.

Dalam pada itu, mendiang ayah Kim, Kim Jong-il lebih gemar melakukan lawatannya dengan menaiki kereta api berperisai kerana bimbang pesawatnya ditembak sekiranya memilih perjalanan udara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker