Isu SemasaPolitikTempatan

Bagaimana Media Sosial Bantu Pakatan Harapan Menang PRU-14?

Media sosial merupakan ‘senjata’ utama yang digunakan oleh semua parti politik ketika berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Tetapi, bagaimanakah Pakatan Harapan (PH) mampu muncul sebagai pemenang dalam persaingan sengit itu?

Memetik laporan The Malay Mail Online, penganalisis dari Centre of Applied Data Science (CADS) mendedahkan bahawa PH telah menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej yang lebih luas bagi memenangi hati rakyat Malaysia, sementara jentera Barisan Nasional pula dilihat lebih kepada menjaga imej bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sebuah kajian yang dilakukan di antara 1 sehingga 5 Mac 2018, CADS berkata, kata kunci yang diperoleh daripada 155,615 tweet mendapati bahawa BN kerap menggunakan perkataan seperti “bendera, ROS, dan diturunkan”, manakala “undi, ubah, janji, dan Negaraku” pula digunakan oleh PH.

“PRU14 Malaysia merupakan satu contoh yang jelas, di mana kehadiran media sosial mampu mewujudkan atau membentuk semula imej negara,” kata CADS dalam satu kenyataan.

Tambah organisasi itu lagi, hal ini sekali gus mencetuskan persoalan tentang bagaimana untuk menubuhkan jenama media sosial yang betul dan juga profil untuk organisasi, parti, mahupun negara.

Dalam pada itu, tindakan kerajaan terdahulu yang menghalang pendaftaran PH dan parti komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), turut menjejaskan kempen BN, tidak kira sama ada ia dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.

Jelas CADS, kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin PH juga telah memainkan peranan besar dalam membantu pakatan itu meraih kemenangan dalam pilihan raya buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

“Kata-kata yang digunakan dalam ‘Amanat Malam Terakhir’ yang disampaikan oleh Dr. Mahathir adalah straight-forward (jelas), diselitkan lagi dengan mesej-mesej untuk memulihkan negara, dan menggunakan kata kunci yang memberi penekanan terhadap sentimen negatif ke atas BN,” ujarnya.

Sementara itu, amanat terakhir yang disampaikan oleh BN pula menyaksikan pelbagai ‘hadiah’ atau insentif kepada rakyat, termasuk pengecualian cukai bagi individu yang berusia di bawah 26 tahun.

Menurut CADS, hal ini mendapat reaksi yang negatif daripada rakyat kerana ia dilihat seolah-olah mendorong persepsi ‘cash is king’ (wang adalah raja).

Bagi gabungan Gagasan Sejahtera yang diketuai oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula, kemenangan mereka di Kelantan dan Terengganu didorong oleh pendekatan “akar umbi”.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker