AntarabangsaIsu Semasa

Pengangkut Pesawat Baru China Mula Ujian Di Laut

Kapal pengangkut pesawat pertama China yang dibina sendiri oleh negara itu telah mula menjalani ujian di laut.

Difahamkan, pembinaan kapal yang dikenali sebagai Type 001A itu telah dimulakan sejak hujung tahun 2013 lagi, dan ia melambangkan pencapaian besar bagi China dalam program modernisasi ketenteraannya.

Memetik laporan Reuters, Type 001A juga adalah kapal kedua milik China selepas negara itu membeli dan mengubah suai kapal milik Soviet pada tahun 2012 yang diberi nama Liaoning.

Memiliki berat 50,000 tan, pengangkut pesawat ini dijangka akan mula digunakan untuk operasi secara rasmi menjelang tahun 2020.

Dengan adanya kapal baru berkenaan, ia dikatakan akan memberi kelebihan kepada China dalam mengukuhkan lagi kedudukan mereka di Laut China Selatan dan menghalang sebarang pergerakan di Taiwan yang mahu menuntut kemerdekaan daripada Tanah Besar.

Walaupun Liaoning dan Type 001A tidak menggunakan sumber tenaga nuklear, kedua-dua pengangkut pesawat itu boleh menampung 40 buah pesawat secara keseluruhan, selain daripada mempunyai landasan “ski jump”.

Landasan “ski jump” adalah sistem pelancaran lama, di mana pesawat hanya boleh membawa senjata yang sedikit bagi memastikan ia dapat membawa lebih banyak minyak ketika hendak berlepas.

Selain itu, pembinaan kapal baru ini turut dilihat sebagai keinginan China untuk menjadi negara yang terkuat dan paling berpengaruh di rantau Asia.

Type 001A juga dilaporkan akan membawa 24 buah jet pejuang Shenyang J-15, setaraf dengan jet buatan Rusia, Sukhoi Su-33, serta 12 buah helikopter.

Negara tersebut juga dipercayai sedang merancang untuk membina sekurang-kurangnya dua lagi kapal pengangkut pesawat baru pada masa akan datang.

Pada tahun 2020 nanti, China dijangka akan memiliki kira-kira 265 sehingga 274 kapal perang, kapal selam dan juga kapal logistik.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker