AntarabangsaIsu Semasa

Pelancaran Angkasawan Pertama Singapura Terpaksa Dibatalkan

Hanya beberapa jam sebelum pelancaran, sebuah syarikat di Singapura terpaksa membatalkan rancangan untuk menghantar angkasawan negara itu yang pertama ke angkasa lepas pada hari Isnin baru-baru ini.

Memetik laporan Asia News Network, syarikat teknologi yang dikenali sebagai In.Genius itu sudah bersiap sedia untuk melancarkan kapsul dengan menggunakan belon helium beraltitud tinggi dari tapak pelancaran yang terletak di kawasan pedalaman di Australia.

Walau bagaimanapun, pelan yang sudah dirancang selama tempoh 5 tahun tersebut terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan (angin yang terlalu kuat).

Tetapi, pengasas dan pengarah syarikat, Lim Seng, menyatakan bahawa beliau tidak berasa sedih dan akan tetap meneruskan rancangan berkenaan pada bulan April tahun depan.

“Ini bukan sesuatu kegagalan. Ia adalah melaksanakan perkara ini dengan betul dan sentiasa mengutamakan keselamatan, terutamanya kerana ia ada penglibatan manusia,” katanya.

Menurut John Wellington, seorang pakar yang turut terlibat dalam projek tersebut, angin kencang boleh mengoyakkan belon itu dengan separuh.

Beliau berkata, kelajuan angin pada waktu itu diramalkan berada pada kelajuan 123 knot (228 km sejam) pada ketinggian 39,000 kaki (11,890 meter), kira-kira 16 kali ganda lebih kuat daripada ketahanan payung terjun.

“Ramalan angin itu terlalu kuat, konsisten dan berlaku awal pada tahun ini. Ia boleh mengoyakkan belon itu dengan separuh.

“Satu-satunya pilihan adalah untuk menangguhkannya sehingga keadaan bertambah baik,” ujar Wellington.

Walaupun pembatalan pelancaran kapsul itu ke angkasa lepas mendatangkan kerugian ratusan ribu dolar, Lim menegaskan bahawa keselamatan penerbangan perlu menjadi keutamaan.

“Mesej penting di sini adalah keselamatan penerbangan. Kami berani untuk melakukannya dan kami berani membatalkannya apabila perlu,” kata beliau.

Dalam pada itu, Lim mendedahkan bahawa individu yang dipilih sebagai angkasawan adalah anak kelahiran Singapura, Major Yip Chuang Syn.

Major Yip, 39 tahun, merupakan juruterbang pesawat F-15 yang telah berkhidmat selama 21 tahun dalam tentera udara.

Beliau telah berjaya dipilih masuk ke dalam program itu selepas bersaing dengan kira-kira 150 orang calon lain.

Major Yip turut bercita-cita untuk menjadi angkasawan Singapura yang pertama dihantar ke angkasa lepas pada sesi pelancaran yang akan datang.

“Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana rakyat Singapura yang lain,” kata beliau.

 

Sumber imej terencana: www.mothership.sg

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker