AntarabangsaIsu Semasa

‘Keluarga Pengganas’ Dalang Di Sebalik Serangan Bom Berani Mati

Pada Ahad, 13 Mei 2018, Indonesia digemparkan dengan serangan bom berani mati di tiga buah gereja di Surabaya, Jawa Timur.

Memetik laporan AFP, serangan tersebut telah dilakukan oleh sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri, serta empat orang anak yang berusia di antara 9 hingga 18 tahun.

Menurut Ketua Polis Indonesia, Jenderal Tinto Karnavian, semua suspek telah berpecah ke tiga gereja berkenaan dan kemudian meletupkan diri mereka dengan bom yang telah dipasang pada tubuh masing-masing.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di antara jam 6:45 pagi hingga 7:45 pagi, dan 13 orang telah terkorban manakala 41 lagi tercedera.

Pihak polis juga mengesyaki bahawa keluarga tersebut merupakan sebahagian daripada gerakan militan yang dikenali sebagai Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang telah bersumpah taat setia dengan militan IS.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) turut meninjau lokasi kejadian serta mengecam keras tindakan keganasan yang telah dilakukan.

“Terrorisme adalah kejahatan kemanusiaan yang tidak ada kaitannya dengan agama apa pun.

“Semua ajaran agama menolak ajaran terorisme apa pun alasannya,” kata Jokowi.

SUSPEK DILIHAT SEBAGAI KELUARGA YANG SEDERHANA

Ketua keluarga berkenaan dikenali sebagai Dita Oepriyanto, 48, dan isterinya pula bernama Puji Kuswati yang berusia 43 tahun.

Kuswati juga merupakan wanita pertama di Indonesia yang dikenal pasti sebagai pengebom berani mati.

Serangan keganasan yang dilancarkan oleh keluarga tersebut ternyata memberi kejutan luar biasa terutamanya kepada jiran-jiran mereka, yang melihat mereka sebagai sebuah keluarga yang sederhana dan “warak”

Difahamkan, Kuswati mempunyai lebih daripada 250 rakan di laman Facebooknya yang dipenuhi gambar-gambar keindahan alam dan juga kucing.

“Dia (Oepriyanto), pernah menjadi ketua unit kejiranan. Saya bertemunya hampir setiap hari di masjid berdekatan kediamannya,” kata salah seorang jiran, Taufik Gani, 60.

Pada pagi Ahad, Kuswati dan dua orang anak perempuannya yang memakai niqab dan telah memasang bom di badan mereka, berjalan ke Gereja Kristen Indonesia Diponegoro.

Mereka dilaporkan telah dihantar ke sana oleh Oepriyanto, yang kemudian membawa kenderaannya ke Gereja Surabaya Centre Pentecostal

Sementara itu, anak-anak lelakinya pula bergerak ke Gereja Santa Maria, di mana mereka meletupkan bom yang dibawa dan terus maut di tempat kejadian.

Ade Banani, seorang penyelidik psikologi di Universiti Indonesia berkata, kanak-kanak yang dibawa untuk melancarkan serangan keganasan mungkin tidak faham tentang apa yang sedang berlaku.

“Ia mungkin melibatkan sebuah situasi, di mana keluarga masih mempercayai peranan-peranan tradisional, dan bapa mempunyai kuasa dan oleh itu semua ahli keluarga perlu mematuhinya.

“Anak-anaknya mungkin tidak tahu atau tidak faham tentang apa yang sedang berlaku,” ujarnya.

PENGGANAS IS BERBEZA DENGAN JEMAAH ISLAMIYAH (JI)

Kumpulan militan IS dilihat mempunyai perbezaan yang agak ketara dengan Jemaah Islamiyah (JI), yang bertanggungjawab melakukan pelbagai serangan keganasan, termasuk insiden pengeboman Bali pada tahun 2002.

Menurut Nava Nuraniyah, seorang penganalisis di Institute for Policy Analysis of Conflict di Jakarta, JI tidak menggunakan wanita untuk melancarkan sebarang bentuk serangan.

“Penglibatan wanita adalah sesuatu yang baru, terutamanya kanak-kanak. Ketika era JI, mereka melarang penggunaan wanita (dalam operasi keganasan),” katanya.

Militan IS pula sebaliknya merekrut pejuang-pejuang wanita dan juga perempuan-perempuan muda bagi melakukan kerja-kerja kotor mereka.

“Wanita sentiasa dilihat sebagai ketenangan, jadi pengawal keselamatan lebih lembut ke atas wanita. Terdapat kelebihan taktikal (bagi pengganas),” tambah Nuraniyah.

SERANGAN BOM KEDUA PADA 14 MEI 2018

Hanya sehari selepas serangan gereja, sebuah lagi kes pengeboman berani mati telah dilancarkan ke atas ibu pejabat polis di Surabaya.

Insiden terbabit melibatkan empat orang pengebom dan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang tercedera.

Susulan itu, Jokowi menyifatkan tindakan keganasan tersebut sebagai biadap dan melampaui batas kemanusiaan.

“Ini adalah tindakan pengecut, tidak bermartabat, biadap, Kita akan melawan terorisme dan membasminya sehingga ke akarnya,” tegas beliau.

Ketua Polis Indonesia menyatakan bahawa sebelum meletupkan dirinya, pengebom datang menaiki motosikal dan berhenti di hadapan Ibu Pejabat Polis Surabaya.

Dalam pada itu, Jokowi turut berikrar untuk meneruskan rang undang-undang anti-keganasan bagi memerangi rangkaian militan secara menyeluruh.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker