Politik

Projek Demokrasi Era Baharu Malaysia

Keputusan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia telah diperkatakan dan mendapat liputan luas di dalam dan luar negara.

Kerajaan yang baru terbentuk diharapankan akan benar-benar membawa Malaysia ke arah yang betul, ke arah negara berpendapatan tinggi sambil meningkatkan ekonomi dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan untuk berkembang.

Dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau sekali lagi dijangka akan meletakkan Malaysia di peta dunia.

Hari-hari awal peralihan kuasa kerajaan adalah rumit dengan pelbagai agenda yang disasarkan dan kerja keras untuk menggalas harapan rakyat yang tinggi terhadap kerajaan baharu akan bermula.

Namun, ia akan mengambil masa untuk mengubah kepimpinan sebelum ini, untuk membina semula perpaduan nasional dan menyembuhkan keadaan politik negara dan untuk menjalin persetujuan baru mengenai isu-isu utama negara. Sesetengah kompromi perlu dilakukan tetapi tidak semua orang akan gembira.

Dr Mahathir dilihat amat komited terhadap agenda Pakatan Harapan.

Percaturannya bermula dengan melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, meletakkan Muhyiddin Yassin di Kementerian Dalam Negeri dan Mat Sabu di Kementerian Pertahanan.

Tetapi demokrasi kadang-kadang boleh menjadi keadaan yang tidak menyenangkan, terutamanya apabila melibatkan gabungan kuasa.

Di Jerman, Angela Merkel mengambil masa selama beberapa bulan untuk berunding dengan rakan gabungannya untuk membentuk kabinet.

Sesetengah rakyat telah menunjukkan kebimbangan apabila perbezaan telah muncul dalam jawatankuasa kabinet baharu terutama dari segi perbezaan kaum.

Walau apa pun, semua pemimpin Pakatan Harapan tahu bahawa orang ramai yang mengundi mereka ke Putrajaya sangat tertumpu untuk membina semula negara dan tidak akan sabar dengan isu-isu yang menghalang agenda pembaharuan itu.

Pasukan Penasihat Kerajaan yang dibentuk terdiri daripada lima orang tokoh ekonomi juga menerima maklum balas positif. Dalam fasa peralihan kerajaan, tiada yang lebih penting daripada strategi untuk menarik pelabur dan pemimpin perniagaan.

Dr Mahathir adalah tokoh yang meyakinkan dan dipercayai dalam persekitaran politik yang sentiasa berubah.

Berdasarkan kepimpinan beliau terdahulu, rakyat Malaysia selesa dan yakin dengan kepimpinan beliau.

Oleh itu rakyat mahu negara terus diterajui olehnya sehingga proses transformasi negara berada dalam keadaan stabil.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita telah pun menjalankan amanah dengan memilih kerajaan yang diingini untuk memimpin negara.

Oleh itu, ada baiknya kita memberi mereka ruang untuk mengatur strategi demokrasi mereka dalam era baharu Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button