Gaya HidupKesihatan

Adakah Semua Wanita Hamil Perlu Menjalani Ujian MGTT?

Prosedur yang lebih dikenali dengan MGTT (modified glucose tolerance test) ini biasa dialami oleh ibu mengandung yang mengalami empat keadaan ini:-

  1. Mempunyai BMI lebih dari 30
  2. Sejarah melahirkan anak 4kg ke atas
  3. Sejarah mengalami diabetes melitus semasa hamil
  4. Mempunyai saudara-mara dekat yang menghidup diabetes

Kenapa Perlu Jalani Ujian MGTT

Tujuan MGTT ialah untuk mengenal pasti kadar gula atau glukosa dalam tubuh sama ada kurang atau lebih hingga mungkin boleh mengakibatkan kemudaratan pada ibu dan bayi dalam kandungan.

Ibu mengandung sering menggunakan istilah ‘minum air gula’ apabila berkongsi pengalaman mereka.

Adakalanya walaupun ibu yang tidak mengalami empat keadaan di atas, mereka tetap harus menjalani ujian MGTT ini adalah kerana badan wanita hamil perlu menghasilkan insulin tambahan untuk memenuhi keperluan bayi semasa anda sedang hamil, terutamanya daripada kira-kira bulan kelima iaitu ketika tumbesaran bayi sedang berlaku dengan pesat.

Jika badan anda tidak dapat menyaingi perkembangan ini, anda mungkin akan menghidap diabetes gestasi.

Insulin yang dihasilkan oleh pankreas adalah untul mengawal jumlah gula dalam darah dan membolehkan badan anda menyimpan gula yang tidak diperlukan serta-merta untuk menghasilkan tenaga.

Kepentingan Gula Untuk Bayi

Bayi anda memerlukan gula dalam bentuk glukosa untuk membantunya membesar, tetapi terlalu banyak gula pula boleh menyebabkan badannya lebih besar daripada yang sepatutnya, terutamanya pada bahagian bahu, dada dan abdomen. Keadaan ini dikenali sebagai makrosomia yang bermaksud “badan yang besar”.

Akibatnya, mungkin sukar bagi anda melahirkannya secara normal nanti kerana bahunya yang besar mungkin akan tersangkut. Bayi yang terlalu besar berkemungkinan perlu dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Di antara 2 dan 14 peratus wanita hamil menghidap diabetes gestasi. Dalam kebanyakan kes, apa yang anda perlu untuk mengawal diabetes ialah dengan mengikuti diet yang sihat dan bersenam. Dalam kira-kira 10 hingga 20 peratus kes, wanita-wanita ini terpaksa menyuntik diri mereka dengan insulin untuk mengawal penyakit ini.

Prosedur Ujian MGTT 

  1. Ibu hamil perlu berpuasa sehari sebelum ujian dijalankan. Tempoh puasa berkenaan perlu dimulai dari jam 10 malam. Ibu perlu berpuasa dan hanya boleh minum air kosong.
    *Sebaik-baiknya, anda perlu datang ke klinik sebelum jam 8 pagi bagi membolehkan anda menjalani ujian darah sebelum mula meminum air gula.
  2. Kira-kira 2 – 3ml darah akan diambil untuk diuji kandungan glukosanya.
  3. Selepas mengambil darah, mereka perlu minum air glukosa yang disediakan pihak klinik. Lazimnya, jumlah air gula ini ialah 75 miligram glukosa di dalan 200ml air kosong.
  4. Ibu perlu menunggu selama kira-kira dua jam tanpa dibenarkan makan dan minum. Dalam tempoh ini, ada ibu berkemungkinan akan berasa loya, oleh itu dinasihatkan mereka berehat.
  5. Dua jam selepas anda minum air gula, ujian darah akan dilakukan sekali lagi untuk melihat tahap toleransi anda terhadap gula dan mengetahui kandungan glukosa di dalam darah.

    Secara umumnya bacaan MGTT yang biasa diambil untuk ibu hamil di Malaysia adalah seperti berikut :

    FBS (Fasting Blood Sugar) – Bacaan daripada sampel darah yang diambil sebelum minum air gula
    Normal: 3.0 mmol/L – 5.5 mmol/L
    Dua jam selepas MGTT – Bacaan daripada sampel darah selepas dua jam ibu hamil minum air gula
    Normal : kurang daripada 7.8 mmol/L
    Impaired : 7.8 mmol/L – 11.0 mmol/L
    Diabetic : 11.1 mmol/L

  6. Biasanya ibu-ibu yang punya bacaan yang berhampiran atau pada borderline akan di minta melakukan ujian sekali lagi.
  7. Manakala ibu-ibu yang mempunyai bacaan lebih dari 7.8 mmol/L akan di rujuk untuk melakukan ujian BSP dan seterusnya mendapat nasihat doktor.

Tips Minum ‘Air Gula’ ketika Hamil

Ramai ibu mengandung akan berkongsi pengalaman tentang MGTT ini kerana kebanyakannya akan terasa mual setelah minum air yang manis ini. Berikut ialah 6 tips untuk anda:-

  1. Jaga pemakanan – Sehari sebelum ke klinik, hadkan pengambilan makanan. Minum air kosong sebanyak yang boleh. Kurangkan nasi dan lebihkan sayur-sayuran di dalam hidangan makanan.
  2. Berpuasa – Seawal jam 10 malam sehari sebelum ujian air gula, anda perlu berpuasa. Hanya air kosong dalam kuantiti yang sedikit dibenarkan. Air manis dan bergula dilarang sama sekali.
  3. Minum dengan cepat – ketika nak minum air gula tu, minum dengan cepat. Jangan minum sikit-sikit dan terlalu banyak berfikir.
  4. Kalau boleh minum sekali harung! Tutup hidung kalau tidak tahan bau.
  5. Kumur mulut selepas minum – Rasa manis gula sudah tentu kita akan merasa loya, jadi selepas minum air gula pastikan anda berkumur dan kemudian teguk sedikit air kosong untuk menghilangkan rasa manis di tekak.
  6. Berehat di tempat yang selesa – Jika mahu pitam, berehat dan berbaring di tempat yang bersesuaian.
    – Sebaiknya anda habiskan masa dua jam sebelum ujian darah kedua di tempat yang tidak mempunyai bau supaya dapat menghindarkan anda daripada termuntah.
    Jangan terus makan makanan berat. Seelok-eloknya, mulakan dengan minum air kosong, makan biskut ataupun roti terlebih dahulu. Apabila keadaan kembali stabil, barulah anda boleh menjamah makanan seperti biasa.

Sumber imej terencana: aidathepinky.blogspot.com

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker