Politik

PRU14: Tsunami Belia Cipta Kemenangan Bersejarah

Sebelum 9 Mei, kita sering mendengar bahawa PRU14 adalah ibu segala pilihan raya. Ternyata, PRU14 bukan sahaja ibu segala pilihan raya tetapi pilihan raya paling bersejarah dan pastinya akan diingati sepanjang masa.

Pertama kali dalam sejarah 60 tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato’ Seri Najib Razak akhirnya berjaya ditumbangkan oleh parti Pakatan Harapan (PH) di bawah naungan Tun Dr Mahathir.

Sebelum pilihan raya, kemenangan PH dianggap mustahil dengan persempadanan semula kawasan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hari pengundian diumumkan pada hari Rabu yang dilihat akan memberi keuntungan kepada BN.

Tetapi demokrasi adalah suara rakyat. Rakyat Malaysia telah nekad untuk mengubah Putrajaya dan melakukan apa sahaja untuk pulang mengundi termasuk melakukan inisiatif #carpoolGE14 dan #pulangmengundi di laman sosial Twitter.

Ternyata usaha anak muda Malaysia untuk meniupkan angin perubahan terhadap kerajaan bertiup kencang dan memberi kesan positif apabila PH diumum memenangi PRU14 dan Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei.

Menurut The Star, SPR telah mengumumkan bahawa jumlah pengundi terakhir pada 9 Mei lalu adalah 82.32% atau 12,299,514 daripada jumlah pengundi berdaftar sebanyak 14,940,624.

Keputusan ini dipengaruhi oleh pengundi-pengundi muda atau pengundi kali pertama yang inginkan sebuah kerajaan Malaysia yang telus dan bebas dari rasuah.

Ketua pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata bahawa kekalahan BN dalam PRU14 adalah disebabkan oleh tsunami belia.

“Kebimbangan belia terhadap 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) menunjukkan bahawa isu kebangsaan merupakan sebab utama mengapa mereka memilih Pakatan Harapan,” katanya.

Khairul Shahril mendakwa bahawa pengundi muda sebenarnya tidak menolak BN sebaliknya mahu suara mereka didengari apabila sesuatu isu diketengahkan terutama di laman sosial.

Setelah BN memerintah negara selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, negara akhirnya merasai pucuk pimpinan baru. Peralihan kuasa pada tampuk kepimpinan negara akhirnya berlaku dan ia disebabkan oleh suara rakyat yang diterjemahkan dalam sistem demokrasi.

Kita tidak pernah merasakan kuasa demokrasi yang dimandatkan kepada kita. Kita perlu menggunakan kuasa ini untuk benar-benar merasai bahawa demokrasi adalah kuasa rakyat dan menghargai kebebasan memilih kerajaan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button