AntarabangsaBudaya

Mindanao Di Filipina: Bagaimana Agaknya Pengalaman Kembara Ke Sana?

Bila sebut tentang Mindanao, tidak lain pastinya otak kita akan memaparkan imej-imej keganasan. Itu memang ciri di sana kerana mereka telah bertelagah dengan kerajaan Filipina untuk tempoh yang panjang.

Antara senario yang memaparkan keadaan di Mindanao, yang sarat dengan tentera dan konflik

Namun, wartawan Toodia iaitu penulis sendiri yang berpengalaman mengembara ke sana mempunyai cerita lain yang penuh adventure, keterujaan dan ledakan adrenalin tahap maksima.

Jom ikuti pengalaman itu…

MINDANAO DAN SISI TERANGNYA

Pada sekitar awal 2013, penulis terpanggil untuk menjelajahi Mindanao yang terletak di selatan Filipina.

Untuk pengetahuan, Mindanao ialah sebuah kepulauan yang didiami majoriti orang Islam, yang terdiri dari berpuluh etnik berbeza. Pulau ini mengalami pergolakan yang panjang melibatkan elemen pemisah, pengganas, lanun, gangster dan sebagainya.

Pada waktu kunjungan, Mindanao baru sahaja menyaksikan sebuah proses damai dimetrai di antara kerajaan, pemisah serta pihak ketiga. Itu meredakan sedikit ketegangan di sana dan memberi sedikit keberanian kepada penulis.

PUSAT BELI BELAH MENJUAL IKAN BAUNG

Penulis berkunjung ke sana seorang diri. Namun sepanjang di sana, beberapa pihak telah membantu dari sudut logistik dan akses kepada banyak kawasan.

Antaranya, sewaktu di Davao iaitu sebuah kawasan di utara, penulis bertemu seorang wakil kerajaan dari sebuah negara di Asia.

Beliau membawa penulis melihat keadaan kota itu terutama beberapa pusat beli belah.

Apa yang mengejutkan ialah, para pengunjung yang ingin masuk haruslah melepasi pengimbas eletronik, kerana faktor keselamatan dan memastikan tiada unsur ancaman.

Di dalam pasaraya di sana, produk yang ditawarkan juga sangat berbeza dari Malaysia.

Antaranya termasuklah padi huma yang dikomersialkan, ikan sungai seperti baung dan patin (ikan baung ialah dari spesis patin namun lebih enak), serta daging khinzir yang dijual bersebelahan produk halal. Ini semestinya mengejutkan penulis, kerana sistem politik negara itu dilihat masih kurang menitikberatkan aspek kawalan terhadap agama Islam.

THE ROMANIA OF THE EAST

Penulis juga berkesempatan berkunjung ke Dalurong yang terletak di selatan wilayah Malay Balay.

Di sana, keadaan geografi tanah tingginya sangat memukau pandangan, bahkan ada pengunjung yang menggelar kawasan itu sebagai The Romania of the East.

Bukitnya hijau dan berlingkaran dinaungi banjaran. Lembah-lembah di sana terkontras oleh warna hijau pekat dan muda, dan ia menghamparkan ketenangan dan keindahan yang memikat.

Dalurong di Mindanao

MAKANAN HALAL DI MINDANAO

Jangan terkejut sekiranya kita dapati sistem kawalan yang longgar terhadap kesucian Islam mengakibatkan suasana makan di sana agak huru-hara.

Ada kedai makan di Cotabato yang menggunakan tulisan jawi dan logo halal, namun saat penulis masuk didapati kedai itu menghidangkan bahagian usu khinzir, dan terima kasih kepada sikap peka penulis.

Kalau tidak, nescaya penulis akan pengsan kerana termakan sesuatu yang tidak halal dan meloyakan.

Namun bagi kedai yang terjamin status halalnya, mereka menghidangkan juadah yang bercirikan Asia namun ada sentuhan peribadi Mindanao.

Contohnya, penggunaan kelapa parut banyak didapati dalam bermacam hidangan. Begitu juga dengan kerabu yang menggunakan ulaman tempatan.

Namun, makanan halal yang paling mudah dan selamat di wilayah kepulauan itu sudah semestinya ialah produk lautan.

Mindanao cukup terkenal dengan produk laut yang mewah, terutama ikan tuna mega, ikan karang yang pelbagai jenis serta udang yang besar dan segar.

HAMPIR DICULIK

Namun pengalaman yang paling melonjakkan adrenalin adalah sewaktu penulis terdampar seorang diri di cotabato, ibu negeri Mindanao.

Waktu itu, penulis kehabisan bateri telefon bimbit dan tidak dapat menghubungi orang hubungan. Akibatnya, penulis terpaksa meredah pusat bandar cowboy itu – yang sarat dengan tentera, askar upahan, kedai senjata bahkan kereta kebal – bagi mendapatkan perlindungan.

Dalam proses itulah penulis ternampak sebuah hotel usang. Selepas mendaftar masuk, mengecas telefon dan kemudian keluar untuk mencari makanan dan kad tambah semula telefon, penulis terserempak dengan dua orang warga tempatan yang mencurigakan memerhatikan gerak langkah. Lebih cemas ialah apabila seorang daripada menyebut: “Malaysia, Malaysia” kepada rakannya dan penulis dapat menangkap butir perkataan itu.

Segera penulis kembali ke bilik hotel, memasukkan kad tambah dan cuba menghubungi orang hubungan. Akhirnya selepas beberapa jam, orang hubungan penulis menghantar sepasukan anggota keselamatan untuk menjemput dan membawa penulis keluar dari kengerian itu.

Penulis bergambar dengan askar Autonomous Region of Muslim Mindanao sewaktu di Cotabato

PENGAJARAN

Pengalaman ke sana mengajar bahawa selagi kita bersyukur ke atas kemakmuran tanah air, maka dengan izin Allah SWT keamanan dan pembelaan terhadap agama Islam akan terpelihara.

Itu juga menerapkan nilai supaya kita peka dengan kesucian agama Islam, kerana penduduk Islam Mindanao yang agak terbuka pemikiran dilihat memandang enteng akan hal ini, dan dari hal itulah kita boleh meilhat eleman halal dan tidak halal bercampur baur dalam satu ruang lingkup.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button