Bagi generasi lama di Malaysia, mereka semestinya tidak pelik mendengar nama umbut.
Namun berbeza pula halnya dengan golongan muda terutama di bandar, apabila menyebut nama umbut akan meninggalkan seribu pertanyaan.
Apatah lagi jika diberitahu bahawa umbut itu merupakan sesuatu yang sangat enak dan “rare” (sukar diperoleh).
APAKAH ITU UMBUT?
Umbut ialah bahagian tengah satu-satu pokok palma seperti kelapa dan kelapa sawit.
Bahagian lembut berwarna putih itu merupakan empulur berserat halus yang menyimpan nutrisi dalam satu-satu pokok.
Di barat, bahagian ini dinamakan dengan beberapa nama sebagai melambangkan signifikasinya sebagai sumber makanan kepada manusia.
- “Kobis paya” atau “the swamp cabbage”: Gelaran ‘kobis paya’ biasanya merujuk kepada bahagian umbut pokok palma jenis Sabal Palmetto
- “Heart of palm”

UMBUT YANG BOLEH DIMAKAN
Umbut merupakan makanan kebanyakan manusia sejak zaman dahulu. Di Malaysia, kebanyakan orang dahulu biasanya mengambil umbut dari beberapa jenis tumbuhan palma seperti berikut: –
- Kelapa
- Kelapa sawit
- Pokok bayai
- Pisang

Manakala di Amerika Syarikat pula, kaum red indian serta penjajah kulit putih yang terawal biasanya menjadikan pokok palma jenis Sabal palmetto yang banyak terdapat di Florida sebagai sumber mendapatkan umbut.

Namun begitu, berikutan kesukaran mendapatkan bekalan, maka tidak menghairankan apabila kita jarang melihat umbut ini dijual di pasar.
Proses mendapatkan umbut bukan sahaja sukar dan memakan banyak tenaga, bahkan ianya juga tidak mesra alam dan tidak ekonomikal kerana sebatang pokok hanya mempunyai satu teras umbut, dan proses mengambil umbut dari pokok akan memusnahkan pokok itu.
KEENAKAN RASANYA
Sebagai individu yang berkesempatan membesar di kampung, penulis sendiri pernah merasai pengalaman mengambil, membersihkan dan merasai keenakan umbut. antaranya termasuklah umbut bayai dan umbut kelapa.
Rasanya yang manis, lemak dan sedikit berserat semestinya menimbulkan pengalaman kulinari yang penuh kenikmatan buat para penggemar, dan pastinya mampu menarik minat anak-anak muda yang urban untuk mencuba hidangan eksotik ini.

