Teknologi

‘Multitasking’ Menggunakan Telefon Bimbit Bantutkan Pembelajaran

Ramai orang ingin mempunyai pengetahuan luas dan berketerampilan tinggi serta bijak mengimbangi pelbagai tugas. Mungkin ramai di luar sana berfikir kemampuan melakukan pelbagai tugas pada satu-satu masa adalah kelebihan yang bagus.

Tetapi kajian terkini yang dibentangkan di persidangan tahunan American Educational Research Assosiation mendapati bahawa ‘multitasking’ menggunakan telefon bimbit memberi impak negatif terhadap daya ingatan, pemahaman bacaan, dan kelajuan membaca.

Menurut kajian yang dibentangkan oleh Quan Chen dan profesor madya Zheng Yan dari Universiti at Albany, State Univeristy New York, kesan terburuk ‘multitasking’ datang daripada penggunaan platform media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Kajian mereka yang bertajuk “A Meta Analysis of the Effects of Off Task Multitasking with Mobile Phones on Learning”(Analysis Meta Tentang Kesan Multitasking Menggunakan Telefon Bimbit Terhadap Pembelajaran), menggunakan teknik statistik untuk mengumpul data dari 29 kajian terdahulu yang diterbitkan antara 2003 dan 2016.

Peserta kajian tersebut merangkumi 1,925 orang yang dikaji dalam keupayaan mereka untuk melakukan pelbagai tugas pada satu-satu masa seperti bercakap, menghantar mesej, melayari Internet dan menghantar mesej segera.

Generasi milenial dikatakan bijak menggunakan telefon bimbit dan Internet serta lebih cekap melakukan ‘multitasking’ berbanding generasi lama.

Secara keseluruhannya, Chen dan Yan mendapati prestasi pembelajaran pelajar yang tidak menggunakan telefon bimbit jauh lebih baik berbanding pelajar yang menggunakan telefon.

Impak paling negatif dapat dilihat pada kelajuan membaca. Walaupun begitu, nada dering telefon bimbit dan platform media seperti Facebook, Twitter serta Instagram dilihat ketara menjejaskan keupayaan pelajar untuk mengingati kandungan pembelajaran di dalam kelas.

Kajian ini bukanlah penemuan yang mengejutkan buat para pendidik kerana mereka telah lama menyedari tentang kesan buruk telefon bimbit terhadap pembelajaran.

Kajian terkini ini mungkin dapat membantu beberapa institut pembelajaran untuk menetapkan peraturan untuk tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit atau tidak menggunakannya di dalam kelas.

Show More

Related Articles

Back to top button
Close