Antarabangsa

Tapak Terbesar Korban Kanak-Kanak Dijumpai

Ahli arkeologi di Peru telah menjumpai tapak di mana 140 kanak-kanak dan 200 haiwan llama dijadikan korban sebagai sebahagian daripada upacara pemujaan yang berlaku kira-kira 550 tahun yang lalu.

Lokasi tersebut terletak di atas cenuram berhadapan Lautan Pasifik di wilayah La Libertad, lokasi di mana peradaban Chimu mula muncul.

Peradaban Chimu adalah masyarakat kaum pra-Columbia yang menyembah bulan.

Menurut National Geographic, walaupun insiden pengorbanan kanak-kanak berlaku di kalangan masyarakat Aztec, Maya dan Inca direkodkan dalam catatan zaman penjajahan Sepanyol serta didokumenkan melalui aktiviti penggalian saintifik moden, penemuan korban kanak-kanak berskala besar sewaktu peradaban Chimu adalah tidak pernah berlaku sebelum ini di benua Amerika – atau mungkin seluruh dunia.

Kajian ini dijalankan oleh pasukan antarabangsa yang diketuai oleh penjelajah dari National Geographic, Gabriel Prieto dari National University Trujillo dan John Verano, seorang ahli antropologi dari Tulane University di New Orleans.

Aktiviti penggalian ini bermula pada sekitar 2011 apabila mereka menjumpai rangka 42 kanak-kanak dan 76 rangka llama di sebuah kuil di kawasan berdekatan yang berusia 3,500 tahun.

Selepas penggalian tersebut selesai lima tahun kemudian, mereka menemui 140 rangka tulang kanak-kanak dan 200 llama, dan juga tali serta tekstil yang dianggarkan bertarikh antara tahun 1400 dan 1450.

Para penyelidik mendapati kesemua kanak-kanak berkenaan berusia antara lima dan 14 tahun dan mayat mereka dikebumikan menghadap arah barat.

Show More

Related Articles

Back to top button