Isu SemasaPolitikTempatan

PRU-14: Calon Muda Lebih Memahami Pengundi Belia

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan setiap parti politik mempertaruhkan ramai wajah baru yang terdiri daripada golongan muda.

Dalam pada itu, terdapat 14,940,624 pengundi berdaftar yang keluar menunaikan tanggungjawab mengundi  pada Rabu, 09 Mei 2018.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, sebahagian besar daripada jumlah itu adalah pengundi muda yang berusia di antara 21 sehingga 39 tahun, dengan rekod seramai 7.09 juta orang.

Ini membuktikan bahawa pengundi-pengundi generasi baru akan memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan keputusan akhir PRU-14 nanti.

APA YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN SEBELUM MENGUNDI?

Parti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan juga Gagasan Sejahtera (GAGASAN) telah menyiarkan manifesto masing-masing untuk rakyat bagi tempoh 5 tahun yang akan datang.

Sebelum membuang undi, pengundi muda, khususnya mereka yang akan mengundi buat pertama kali (first time voters), perlu membuat penilaian secara rasional dan menyeluruh ke atas rancangan yang ditawarkan oleh setiap parti.

Tidak dinafikan bahawa musim berkempen di dalam pilihan raya akan menyaksikan ‘perang mulut’ dan mungkin juga fitnah dari pelbagai pihak terhadap pesaing masing-masing.

Perkara ini ternyata akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat, sekali gus menyebabkan mereka tidak tahu apa yang patut dipercayai atau tidak.

Oleh itu, adalah amat penting bagi setiap rakyat untuk memeriksa kesahihan sesuatu fakta, berita, atau dakwaan sebelum membuat sebarang keputusan.

Pastikan anda memilih pihak yang menawarkan manifesto realistik dan bukan ‘janji-janji manis’ yang hanya bertujuan untuk memancing undi.

Selain daripada itu, periksa juga latar belakang calon-calon yang dipertaruhkan oleh setiap parti bagi memastikan calon pilihan anda adalah seorang individu yang berkaliber untuk menjadi wakil rakyat.

ADAKAH CALON MUDA MAMPU MENARIK PENGUNDI BELIA?

Calon muda semestinya mampu menarik sokongan pengundi muda pada PRU-14 ini.

Ini adalah kerana calon muda lebih memahami keperluan, pemikiran, dan perasaan pengundi-pengundi yang berusia tidak jauh daripada mereka.

Bukan itu sahaja, malah pengundi belia juga akan merasa lebih selesa dan mudah untuk mendekati wakil rakyat muda bagi menceritakan masalah-masalah yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, faktor usia sahaja tidak mencukupi sekiranya calon tidak mempunyai perancangan yang kukuh untuk menjamin kesejahteraan pengundi.

Selain daripada itu, personaliti dan tingkah laku yang baik juga akan menjadi salah satu faktor penentu utama dalam usaha memenangi hati para pengundi belia.

Generasi muda pada masa kini turut mahukan wakil rakyat yang jujur, amanah, bersih, kerap turun padang, bebas rasuah, serta mampu menjaga kebajikan mereka.

MAMPUKAH CALON MUDA MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN BAIK?

Ini merupakan satu soalan yang subjektif, namun tidak dinafikan bahawa calon muda berkemampuan untuk melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

Ini adalah kerana mereka mempunyai tenaga yang lebih untuk melakukan kerja-kerja turun padang berbanding wakil rakyat yang sudah berusia.

Mereka juga mungkin akan mempunyai pandangan dan idea yang lebih bernas untuk memenuhi keperluan generasi muda selaras dengan keadaan semasa.

Namun pada masa yang sama, tidak dinafikan juga bahawa calon muda mungkin kekurangan dari segi pengalaman.

Tetapi tidak perlu bimbang kerana pengalaman hanya boleh diraih dengan memegang jawatan wakil rakyat itu sendiri dan peluang untuk mempelajari sesuatu perkara yang baru sentiasa terbuka luas.

Sekiranya memerlukan nasihat atau bimbingan, calon muda sentiasa boleh merujuk kepada wakil-wakil rakyat yang lebih senior.

BAGAIMANA PULA DENGAN WAKIL RAKYAT YANG SUDAH BERUSIA? ADAKAH MEREKA MAMPU MERAIH SOKONGAN PENGUNDI MUDA?

Ya. Walaupun hampir separuh pengundi adalah dari kalangan golongan muda, ia masih relevan untuk mempertaruhkan calon-calon yang sudah berusia memandangkan mereka mempunyai pengalaman yang luas.

Pengalaman ini juga penting untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada calon-calon muda, khususnya mereka yang tidak pernah mempunyai pengalaman dalam arena politik.

Tetapi, persoalan sama ada pengundi muda akan memilih calon yang sudah berusia ataupun tidak amat bergantung pada prestasi mereka di kawasan masing-masing.

Yang paling penting sekali, wakil rakyat veteran perlu memastikan diri mereka mudah untuk didekati dan memahami belia dari luar dan dalam.

Pada masa yang sama, mengamalkan budaya politik matang juga akan menjadi satu bonus.

Golongan muda pada masa kini tidak lagi gemar dengan cara politik lama, di mana parti-parti politik saling memburukkan antara satu sama lain demi kepentingan masing-masing.

Ahli-ahli politik juga perlu mengamalkan prinsip “action speaks louder than words”, kerana belia mahu melihat perubahan yang sebenar, bukan hanya sekadar mendengarnya.

UNDILAH DENGAN BIJAK DAN BERTANGGUNGJAWAB

Akhir sekali, para pengundi muda dinasihatkan supaya mengundi dengan rasional tanpa mengikut emosi.

Tidak kira apa parti sekali pun, pastikan anda memilih calon wakil rakyat yang dapat menjaga kesejahteraan dan kebajikan penduduk di kawasan anda dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker