Bisnes & Ekonomi

Wanita Luar Biasa Ini Memiliki Enam Syarikat Di Usia Muda

Wanita luar biasa ini berumur 33 tahun, mempunyai 3 orang anak serta memiliki enam syarikat dengan 20,000 pekerja.  Sememangnya tahun memperkasakan wanita ini melihatkan ramai wanita muncul dengan kejayaan yang hebat.

Leza Parker, wanita asal Singapura ini memulakan kerjayanya sebagai seorang peniaga aksesori kanak-kanak di atas talian 8 tahun yang lalu setelah menjadi suri rumah selama tujuh tahun.

Apabila perniagaan aksesorinya semakin mendapat sambutan, beliau memperbesarkan syarikat tersebut dengan memberi latihan kepada sesiapa sahaja yang berminat dan mula menjualnya di pusat membeli-belah di Singapura dan Malaysia.

Peniaga Melayu Termuda di Singapura

Pada tahun 2013, Leza seperti dibukakan pintu rezeki yang cukup luas dengan pembukaan syarikat kosmetik, pusat latihan bakeri yang menawarkan kursus masakan, latihan perniagaan dan kemudahan peminjaman alatan memasak untuk yang baru hendak memulakan perniagaan.

Leza juga telah menubuhkan syarikat untuk membantu perusahaan kecil ini berdasarkan 14 Modul Perniagaan. 

Sehingga kini, modul-modul ini turut digunapakai di pelbagai institusi pengajian seperti Essex Business School, Singapore Polytechnic, Singapore Malay Chamber of Commerce dan banyak lagi.

Kini syarikat itu telah diberi penjenamaan semula menjadi Entrepreneur Council untuk lebih berdinamik dan diperluaskan secara global.

Entrepreneur Council merancang untuk mewujudkan lebih banyak khemah pengajian dan pembelajaran di atas talian supaya orang ramai di mana mereka berada boleh belajar melaluinya.

Pada tahun itu juga Leza memenangi pelbagai anugerah berdasarkan pengalamannya itu.

Antara anugerah yang berjaya diraih olehnya ialah Peniaga Melayu Termuda dan Guru Peniagaan Singapura pada usia 28 tahun. Malah, sebuah buku bertajuk “The Lady Boss” juga telah diterbitkan tentangnya.

Tips Perniagaan Dari Leza Parker

Leza berkongsi tips asas untuk membina sebuah perniagaan ialah untuk bermula kecil-kecilan.

“Mulakan sesuatu sebelum anda membina sebuah syarikat, kenal pasti kekangan yang bakal dihadapi dan lakukan penambaikan bermula dari situ.”

Beliau turut berkongsi pendapat tentang realiti sebagai peniaga ialah anda tidak boleh membiarkan kegagalan pertama menghambat anda.

“Belajarlah dan terus belajar kerana tidak ada magis dalam perniagaan. Jangan berhenti belajar kerana ia akan berguna untuk membentuk diri anda pada masa akan datang,” katanya.

Leza turut menambah bahawa jangan mempersoalkan berapa lama ia diperlukan untuk mencapai sesuatu kerana masa akan berlalu. Anda hanya perlu belajar melaluinya, timba pengalaman dan teruskan berlari.

“Manusia tidak boleh berjaya seorang diri tetapi mereka perlu berkembang melalui kolaborasi. Memenangi hati orang sekeliling adalah satu permulaan tetapi memberikan mereka keyakinan berpanjangan adalah sebuah pelaburan. Ini adalah kemahiran yang perlu ada pada setiap ahli perniagaan dan pemimpin masa hadapan,” ujar Leza.

Leza merasakan dirinya gagal apabila pekerjanya meninggalkan syarikatnya tanpa mempelajari sesuatu atau mempunyai perkembangan sebagai seseorang manusia.

Show More

Related Articles

Back to top button