AntarabangsaIsu Semasa

Komando AS Masuk Campur Perang Yaman Secara Rahsia?

Selama bertahun-tahun, tentera Amerika Syarikat (AS) memilih untuk menjauhkan diri daripada perang saudara di Yaman.

Perang tersebut menyaksikan penglibatan tentera Arab Saudi yang menentang puak pemberontak Houthi yang dikatakan tidak mendatangkan sebarang ancaman ke atas AS.

Walau bagaimanapun, sekumpulan Green Berets (pasukan khas tentera AS) dilaporkan telah tiba di sempadan Arab Saudi dan Yaman pada hujung tahun lepas.

Memetik laporan New York Times, kumpulan komando tersebut membantu untuk mencari dan memusnahkan bekalan serta pusat pelancaran peluru berpandu balistik yang digunakan oleh pemberontak untuk menyerang ibu kota Arab Saudi, Riyadh, serta bandar-bandar lain di negara itu.

Hal ini sekali gus bercanggah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Pentagon, di mana tentera AS hanya memberi bantuan terhad kepada tentera pimpinan Arab Saudi dari segi mengisi minyak pesawat, logistik dan perkongsian maklumat risikan umum.

Difahamkan, Green Berets telah dikerahkan kepada sempadan itu pada bulan Disember 2017, seminggu selepas peluru berpandu balistik dilancarkan dari Yaman yang menyasarkan Riyadh, tetapi berjaya dicantas oleh tentera Arab Saudi.

Konflik bersenjata di Yaman telah bermula sejak tahun 2014 lagi, apabila pemberontak Syiah menyerbu Sanaa, ibu kota negara tersebut.

Pemberontak Houthi, yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Iran, telah menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi, yang merupakan sekutu anti-keganasan utama AS di Yaman.

Setahun kemudian, pakatan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi mula melancarkan operasi membanteras kumpulan berkenaan.

Tetapi, masih tiada bukti yang menunjukkan bahawa Houthi telah mengancam AS secara langsung.

Mereka merupakan kumpulan militan yang “tidak canggih”, tidak beroperasi di luar Yaman, dan juga tidak diklasifikasikan sebagai pengganas oleh kerajaan AS. .

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close