Ramai yang mempercayai barang-barang yang mereka miliki mempunyai nilai ‘sentimental’ lalu menyimpannya untuk kegunaan masa hadapan. Tidak salah untuk berbuat sedemikian, tetapi ada yang ‘terlalu sayang’ barang mereka sehingga membuatkan rumah atau bilik menjadi bersepah dan tidak terurus.
Hal ini menjadikan ia sukar untuk mencari barang tertentu ketika kita betul-betul memerlukannya.
Jadi, langkah pertama yang anda patut buat bagi menyelesaikan tabiat suka simpan barang ini adalah dengan bertanya kepada diri anda tiga soalan di bawah ini:
Soalan pertama: Adakah saya sudah pun memiliki barang yang sama?
Kebanyakan rakyat Malaysia berfikiran ‘lebih banyak lebih bagus’. Tetapi ‘lebih’ tidak selalunya bagus, terutamanya apabila anda ingin mencari sesuatu barang dalam barang-barang yang telah menimbun.
Bertanyalah kepada diri anda: Bolehkah barang yang anda ingin membeli itu digantikan dengan barang yang anda sudah pun ada. Jika barang itu sama seperti barang yang anda ada, tidak perlu beli yang baharu.
Soalan kedua: Adakah ia satu keperluan atau kehendak?
Selalunya orang ramai keliru dengan ‘kehendak’ dan ‘keperluan’. Keinginan manusia tidak terhingga, dan kita perlu memahami bahawa ‘kehendak’ tidak sepenting ‘keperluan’. Jangan terlalu memegang pada sesuatu barang yang tidak penting untuk anda dan pentingkan barang yang anda betul-betul sayang.
Soalan ketiga: Adakah saya kerap menggunakannya?
Kadang-kadang kita memerlukan peralatan yang sesuai untuk projek tertentu. Jika projek tersebut akan dilakukan sekali sahaja, anda tidak perlu membeli peralatan itu. Ia lebih baik untuk meminjam peralatan itu dari orang lain.
Setelah anda berfikir tentang tiga soalan di atas, cara terbaik untuk memulakan proses mengemas ini adalah dengan bermula pada tempat yang mudah diuruskan seperti almari pakaian atau almari buku.
Langkah kedua adalah untuk menjadikan mengemas sebagai salah satu daripada rutin seharian anda. Untuk melakukannya anda perlu memperuntukkan 10 hingga 15 minit sehari hanya untuk mengemas.
Kadang-kadang kita tidak pasti barang mana yang perlu disimpan dan yang mana perlu dibuang. Mungkin anda takut untuk membuangnya kerana berfikir anda mungkin akan memerlukannya pada masa hadapan.
Jika begitu, langkah ketiga ini pasti dapat membantu anda membuat keputusan. Letakkan barang yang anda mahu buang di dalam sebuah kotak selama 365 hari. Jika anda tidak sentuh barang tersebut dalam masa setahun, ini bermakna anda tidak memerlukan barang tersebut.
Selepas proses mengemas, langkah keempat yang anda perlu buat adalah untuk menentukan tempat khas untuk setiap barang. Satu tabiat yang bagus untuk diamalkan adalah untuk meletakkan kembali setiap barang pada tempat yang telah ditentukan. Tabiat ini mampu memudahkan kehidupan seharian anda.
Semoga dengan empat langkah di atas anda mampu mengemaskan kehidupan serta tempat tinggal anda.