Bisnes & Ekonomi

Bagaimana PRU14 Menyumbang Kepada Ekonomi Negara

Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan memberi satu peluang besar kepada ekonomi kerana parti-parti politik dijangka menggunakan dana yang banyak untuk mempengaruhi pengundi dalam kempen ibu segala pilihan raya ini.

Walaupun persempadanan semula kawasan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan kerusi yang dipertandingkan kekal sama iaitu 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri.

Walaupun begitu, bilangan pengundi yang layak mengundi telah meningkat kepada hampir 15 juta berbanding 13.3 juta yang didaftarkan dalam PRU13.

Persaingan sengit juga akan mendorong parti-parti politik untuk menggunakan lebih banyak dana mereka untuk mempengaruhi pendapat umum. Pengundi juga dijangka berbelanja untuk perjalanan pulang ke kampung halaman mereka untuk mengundi.

Pakar ekonomi Dr Yeah Kim Leng meramalkan perbelanjaan keseluruhan semasa tempoh pilihan raya mencapai antara 0.2% dan 0.5% daripada keluaran dalam negara kasar negara sekarang sebanyak RM1.43 trilion.

“Kita akan melihat peningkatan perbelanjaan pengguna dan perniagaan dalam jangka masa sehingga pilihan raya. SPR dan calon juga akan mempunyai belanjawan mereka sendiri untuk dibelanjakan. Jadi, ini boleh menjadi suntikan dan memberi kesan berganda kepada ekonomi negara .

“Bersama dengan peningkatan purata perbelanjaan isi rumah, ini akan memberi rangsangan kepada ekonomi,” Yeah memberitahu The Malaysian Reserve baru-baru ini.

Angka yang tepat sukar untuk diramalkan kerana parti politik tidak diwajibkan untuk mendedahkan perbelanjaan sebenar dan bagaimana mereka menghabiskan dana mereka.

Pilihan raya akan datang pada 9 Mei ini telah menyediakan beberapa rangsangan kepada ekonomi dengan peningkatan aktiviti untuk percetakan, dewan konvensyen, perkhidmatan katering, pemborong, pengangkutan awam dan syarikat penerbangan.

Tiket untuk kereta api dan bas ekspres ke semua negeri utara antara 7 Mei dan 11 Mei telah habis dijual, menandakan perbelanjaan awam untuk PRU14. Syarikat penerbangan seperti AirAsia Bhd memberikan tawaran untuk memudahkan perjalanan pengundi.

Menurut SPR, penganjuran PRU14 akan menelan belanja sekitar RM500 juta, menjadikannya pilihan raya paling mahal setakat ini. Perbelanjaan ini termasuk kos sewa, perolehan peralatan, elaun dan pekerja sementara.

Suruhanjaya itu juga turut berbelanja untuk perkhidmatan pengangkutan, terutama helikopter, untuk memastikan proses pilihan yang hanya berlaku sekali dalam lima tahun itu berjalan lancar.

Peraturan menyatakan bahawa setiap calon mempunyai had perbelanjaan sebanyak RM200,000 untuk kerusi parlimen dan RM100,000 untuk kerusi negeri.

Dana digunakan untuk inisiatif operasi manakala sebahagian besar juga akan digunakan untuk bahan promosi, seperti iklan media cetak dan elektronik, kempen media sosial dan papan iklan.

Show More

Related Articles

Back to top button