Teknologi

Facebook Bakal Perkenalkan Ciri Temu Janji

Facebook Inc bakal memperkenalkan ciri temu janji untuk menjodohkan jutaan pengguna rangkaian sosial dalam talian terbesar di dunia itu, sekaligus menggalakkan pengguna untuk menghabiskan lebih banyak masa pada Facebook.

Perkhidmatan temu janji yang telah dirancang oleh Facebook selama lebih sedekad itu, dijangka akan membantu membina semula popularitinya dalam kalangan pengguna muda dan membuat pengguna melawat laman web itu dengan lebih kerap.

Facebook mendedahkan bahawa pada akhir tahun 2017, masa yang diluangkan oleh pengguna pada media sosial itu telah jatuh sekitar 50 juta jam sehari, selepas melakukan perubahan untuk mengurangkan tontonan video pasif dan membendung penyebaran berita  sensasi.

“Terdapat 200 juta orang pengguna Facebook yang menyenaraikan diri mereka dengan status bujang. Jadi ada sesuatu yang perlu dilakukan di sini,” kata Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg ketika persidangan tahunan Facebook F8.

Pengguna Facebook telah dapat mendedahkan status hubungan mereka di rangkaian media sosial itu sejak pertama kali diwujudkan pada bulan Februari 2004.

Zuckerberg berkata Facebook sedang membina perkhidmatan temu janji dengan penekanan terhadap privasi, subjek sensitif untuk orang yang menggunakan laman web temu janji dan untuk Facebook sendiri kerana syarikat itu telah beberapa kali terlibat dengan skandal mengenai pengendalian maklumat peribadi pengguna.

Prototaip yang dipaparkan pada skrin ketika persidangan F8 menunjukkan bentuk hati di sudut kanan atas aplikasi Facebook. Jika butang itu ditekan, pengguna akan dibawa ke profil temu janji mereka jika mereka telah menetapkannya.

Padanan temu janji yang berpotensi akan dicadangkan berdasarkan keutamaan temu janji, minat yang sama dan rakan bersama (mutual friends), lapor Reuters.

Ciri terbaru ini adalah untuk mencari hubungan jangka panjang, bukan sekadar untuk suka-suka dan ia akan dilancarkan tidak lama lagi. Maklumat lanjut akan diberitahu dalam beberapa bulan akan datang, Ketua Pegawai Produk Facebook, Chris Cox berkata dalam satu persidangan berasingan.

Syarikat itu mula serius mempertimbangkan untuk menambah perkhidmatan temu janji pada 2016, apabila Zuckerberg menyiarkan halaman Facebooknya dengan foto pasangan yang telah bertemu di laman itu.

Zuckerberg juga mengatakan bahawa Facebook sedang membina kawalan privasi “clear history” untuk menghapuskan maklumat pelayar (browser), sama seperti pilihan untuk membersihkan ‘cookies’ dalam pelayar.

Show More

Related Articles

Back to top button