AntarabangsaIsu Semasa

Wartawan Muda Iraq Bertanding Kerusi Parlimen

Masihkah anda ingat tentang sebuah insiden yang menyaksikan seorang wartawan warga Iraq membaling kasutnya ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush?

Pada tahun 2008, Muntadhar al-Zaidi menghadiri sebuah sidang media di Baghdad, di mana Bush turut hadir di sana untuk menyampaikan perkembangan mengenai kejayaan AS dalam menduduki Iraq.

Berang dengan bekas presiden itu, Zaidi membuka kedua-dua kasutnya lalu membalingnya ke arah Bush sambil melaungkan:

“Ini adalah ‘ciuman selamat tinggal’ daripada rakyat Iraq. Ini adalah daripada janda, anak-anak yatim, dan mereka yang terbunuh di Iraq.”

Sejurus selepas itu, Zaidi telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun, namun beliau dibebaskan selepas 9 bulan dan kemudian berpindah ke Beirut.

Walau bagaimanapun, tindakan wartawan berusia 39 tahun itu telah menjadikan beliau sebagai ‘ikon’ atau individu yang popular di dalam dunia Arab.

Memetik laporan Washington Post, kilang Baydan Shoe, jenama kasut yang dipakai oleh Zaidi, telah mengubah nama model kasut tersebut kepada “ByeBye Bush.”

BERTANDING KERUSI PARLIMEN DI IRAQ

Kini, Zaidi akan bertanding untuk merebut kerusi di dalam parlimen sempena pilihan raya yang bakal berlangsung pada 12 Mei tidak lama lagi.

Beliau dicalonkan di bawah gabungan politik Sa’eroun, yang terdiri daripada pakatan enam parti.

Walaupun dilihat mempunyai peluang yang tipis untuk menang, namun beliau tetap menampilkan cabaran kuat terhadap calon-calon lain dengan menggunakan popularitinya.

Malah, laman kempennya di Facebook turut menyiarkan lagi video insiden Zaidi membaling kasut ke arah Bush.

“Seperti yang anda kenal saya sejak dahulu lagi, saya akan menyokong orang-orang yang ditindas dan saya akan menentang penindas,” katanya menerusi sebuah video atas talian.

Selain daripada menentang penindasan, beliau turut berikrar untuk menghapuskan gejala rasuah dan mendakwa mereka yang mencuri wang rakyat Iraq.

PERNAH DISEKSA KETIKA BERADA DI DALAM PENJARA

Ketika sedang menjalani hukuman penjara, Zaidi mendakwa bahawa beliau mengalami pelbagai bentuk seksaan termasuk dipukul, disebat, dikenakan renjatan elektrik dan juga simulasi tenggelam.

Susulan pembebasannya, beliau kini berikrar untuk membebaskan negaranya daripada sebarang bentuk penindasan dan penganiayaan.

“Saya sudah bebas, tetapi tanah air saya masih kekal sebagai sebuah penjara,” katanya.

BAWA BUSH KE MUKA PENGADILAN

Dalam pada itu, Zaidi turut menyifatkan dirinya bukan sebagai seorang wira, tetapi seorang individu yang mempunyai pandangan dan pendirian yang tegas.

“Ia merupakan satu penghinaan buat diri saya untuk melihat negara saya dihina; dan untuk melihat Baghdad ‘terbakar’, rakyat saya terbunuh.

“Ribuan memori tragis masih kekal di dalam ingatan saya, sekali gus mendorong saya untuk ke arah haluan konfrontasi,” ujarnya.

Sekiranya berjaya menjadi pemimpin Iraq satu hari nanti, Zaidi berhasrat untuk membawa Bush ke muka pengadilan di atas segala jenayah yang telah dilakukannya.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan AS atau rakyat AS. Isu saya hanya dengan bekas presiden George W. Bush. Beliau menjajah negara saya dan membunuh rakyat saya.

“Jika saya menjadi perdana menteri Iraq atau presiden, perkara pertama yang saya akan lakukan adalah meminta kerajaan AS memohon maaf kepada seluruh rakyat Iraq, memberi pampasan kepada mangsa dan mengambil tindakan ke atas George W. Bush,” tegas Zaidi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker