BooksCulture

‘Sing, Unburied, Sing’ Papar Konflik Perkauman

Novel ketiga karya Jesmyn Ward yang melankolik berjudul Sing, Unburied, Sing, dihantui oleh keindahan yang begitu suram dan mengejutkan sehingga mampu membuatkan pembaca tidak senang duduk.

Sing, Unburied, Sing adalah pemenang Anugerah Buku Kebangsaan 2017 untuk kategori fiksyen, dan dipilih oleh majalah Time sebagai salah satu daripada sepuluh novel terbaik terbitannya untuk tahun 2017.

Bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama turut menyenaraikan novel itu dalam senarai buku-buku terbaik yang dibacanya pada tahun 2017.

Ia menggambarkan kemiskinan, ketagihan dan kekejaman yang tercetus disebabkan oleh isu perkauman di Amerika Selatan.

Narator berusia 13 tahun, Jojo, sangat sensitif terhadap dunia di sekelilingnya. Dia dan kakaknya, Kayla, telah dibesarkan di padang pasir Mississippi oleh datuk dan nenek mereka yang berketurunan kulit gelap. Datuknya, Pop seorang yang tegas dan neneknya, Mam adalah seorang pesakit kanser.

Leonie, ibu kepada Jojo dan Kayla, adalah seorang penagih dadah. Dia menjadi ibu yang tidak bertanggungjawab kerana cintanya terhadap ayah Jojo dan Kayla yang berketurunan kulit putih, Michael.

Apabila Michael dibebaskan selepas dipenjara selama tiga tahun di Penjara Parchman, Leonie memutuskan untuk membawa anak-anaknya berjumpa dengan bapa mereka.

Tetapi perjalanan mereka untuk berjumpa Michael penuh dengan krisis seperti bayi sakit, penyembunyian dadah oleh Leonie dan kemunculan hantu dalam perjalanan tersebut.

Hantu-hantu ini termasuk adik lelaki Leonie, Given, yang dibunuh oleh sepupu Michael dalam kemalangan berburu, serta seorang lelaki bernama Richie, yang dipenjarakan di Parchman bersama Pop ketika berusia 15 tahun. Pop keluar dari penjara dan Richie tidak. Roh Richie muncul untuk menunjukkan kebenaran kepada Jojo bagaimana dia mati.

Novel ini ditetapkan pada zaman moden Mississippi dan latar masa turut diimbas kembali pada tahun 1940-an yang turut menjelaskan sejarah Afrika-Amerika. Peralihan masa ini menunjukkan bahawa isu perkauman di Amerika Syarikat telah lama wujud dan masih kekal hingga ke dunia moden.

Pada tahun 1940-an, Richie berusia 12 tahun ketika dihantar ke Penjara Parchman kerana mencuri daging dan dihukum menjadi buruh paksa di ladang dan disebat ketika lambat melakukan kerja. Inilah gambaran perhambaan yang dilakukan kepada golongan Afrika Amerika pada ketika itu.

Ketika dalam perjalanan di perhentian lampu isyarat, seorang anggota polis meletakkan pistol di kepala Jojo sambil menggari budak lelaki yang tidak bersenjata itu.

“Kadang-kadang saya fikir zaman telah berubah. Kemudian saya tidur dan bangun, dan ia tidak berubah,” hantu Richie memberitahu Jojo.

Penulisan Ward menekankan kepada hubungan kompleks antara anak yang pendiam dan ibu yang menyimpan luka dalam hati. Leonie adalah seorang ibu yang kasar dan pemarah, namun kita juga dapat melihat kesedihan yang mendalam dan perasaan sayang yang menggunung untuk anak-anaknya.

Melalui Sing, Unburied, Sing, Ward mengetengahkan perjuangan seseorang untuk hidup dengan masa lalu yang tidak pudar dan orang mati yang tidak sebenar-benarnya mati. Namun, episod kedukaan seseorang bukanlah penyebab untuknya berhenti menyanyi (meneruskan hidup). – Star2

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker