AntarabangsaIsu Semasa

Orang Asli Brazil Terus Pertahan Hak Dan Tanah

Khamis lepas, kira-kira 2,000 warga orang asli Brazil telah mengadakan protes besar-besaran di ibu kota negara itu bagi membantah tindakan kerajaan yang menafikan hak dan tanah mereka.

Memetik laporan AP, anggota-anggota kumpulan orang asli akan turun ke Brasilia pada bulan April setiap tahun untuk terus memperjuangkan dan menekan pihak berkuasa untuk mengembalikan semula hak mereka.

Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin orang asli berkata, keadaan menjadi semakin tidak menentu sejak pelantikan Presiden Michel Temer pada tahun 2016.

Dalam kempen “Free Land Encampment” pada tahun ini, kumpulan orang asli meluahkan kemarahan mereka terhadap sebuah undang-undang baru yang dikuatkuasakan pada bulan Julai.

Di bawah undang-undang tersebut, pihak berkuasa boleh menentukan sesebuah tanah itu adalah milik orang asli hanya jika ia didapati pada tahun 1988, yang merupakan tahun Perlembagaan Brazil ditubuhkan.

Kumpulan orang asli mendakwa bahawa syarat tersebut seolah-olah mengabaikan sejarah rampasan tanah yang berlaku di negara itu, khususnya pada tahun 1964 sehingga 1985 di bawah pemerintahan diktator.

Menurut aktivis, peraturan baru berkenaan juga akan menyukarkan lagi proses tuntutan tanah orang asli yang masih belum diselesaikan dan juga merampas semula tanah kumpulan itu yang telah diiktiraf.

Hal ini sekali gus akan menyebabkan tanah-tanah itu berada dalam keadaan ‘terdedah’, di mana ia berisiko untuk dijadikan tapak pembalakan haram serta kepentingan bagi perniagaan-perniagaan lain yang akan menjejaskan keupayaan Brazil untuk melindungi alam sekitar.

“Terdapat pelbagai ancaman: arahan, dekri, dan setiap bentuk dokumen yang mereka (pihak berkuasa) gunakan untuk mengurangkan atau tidak mengiktiraf terus tanah kami,” kata Megaron Txucarramae, salah seorang anggota puak Kayapo yang hadir ketika demonstrasi yang diadakan di hadapan Kementerian Kehakiman negara itu.

Dalam pada itu, ramai dikalangan penunjuk perasaan yang membawa bendera Brazil serta papan tanda yang bertulis: “Hentikan genosid orang asli”.

“Tidak pernah sekali pun sejak 30 tahun lalu, kerajaan Brazil memilih untuk mewujudkan hubungan yang baik dan juga mahu menjaga hak-hak orang asli,” kata Coalition of Indigenous People of Brazil dalam sebuah kenyataan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button