AntarabangsaIsu Semasa

Militan Dan Serangan Siber Ancaman Utama Asia Tenggara

Asia Tenggara menghadapi ‘ancaman yang amat nyata’ daripada kumpulan militan IS serta serangan siber.

Amaran tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika pembukaan sidang kemuncak ASEAN pada Sabtu lalu, 28 April 2018.

ASEAN merangkumi 10 negara anggota yang mempunyai kira-kira 650 juta penduduk, sebahagian daripada rantau ini telah sekian lama bergelut dengan ancaman militan, dan kemunculan IS pula menjadi titik pengaruh baru bagi kumpulan-kumpulan pelampau lain.

Serangan pengebom berani mati dan tembakan di Jakarta, Indonesia pada tahun 2016 merupakan insiden pertama yang melibatkan IS di rantau ini.

Tahun lepas pula, Bandar Marawi di Filipina berada di bawah cengkaman militan selama tempoh lima bulan, di mana pihak berkuasa akhirnya berjaya membebaskan bandar itu pada pertengahan bulan Oktober menerusi operasi ketenteraan yang agresif.

Bercakap tentang isu serangan siber pula, perkembangan ekonomi pesat di Asia Tenggara mendorong peningkatan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian masyarakat.

Walaupun teknologi digital mendatangkan pelbagai manfaat, ia turut mencetuskan kebimbangan memandangkan ia boleh menjadi sasaran kumpulan penjenayah siber.

Lee berkata, IS pula terus mengancam rantau ini walaupun mereka telah ditewaskan di Iraq dan Syria.

“Asia Tenggara berada dalam keadaan aman, tetapi ancaman-ancaman ini adalah nyata.

“Kita perlu bertahan dengan ancaman dengan kedua-dua ancaman konvensional dan bukan konvensional seperti keganasan dan serangan siber,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Lee memberi amaran bahawa sistem perdagangan global yang terbuka juga semakin terdedah dengan ancaman disebabkan dasar perlindungan di negara-negara utama ekonomi dunia.

“Keadaan politik di pelbagai negara telah bercanggah dengan perdagangan bebas. Khususnya, ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China merupakan satu perkara yang membimbangkan,” katanya.

Washington dan Bejing masing-masing telah mengenakan tarif ke atas barangan bernilai berbilion dolar dan menurut penganalisis, ia boleh mencetuskan perang dagang global.

Ujar Lee, ASEAN perlu terus mendorong integrasi ekonomi sekali gus memperkasakan lagi kerjasama dalam bidang-bidang lain.

“Secara individu, ia adalah sukar bagi anggota negara ASEAN untuk membawa perubahan dengan sendiri.

“Tetapi apabila kita bercakpa sebagai satu suara ASEAN yang kolektif, kita boleh menjadi efektif,” jelas beliau.

Negara-negara ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Malaysia, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Show More

Related Articles

Back to top button