AntarabangsaIsu Semasa

Kumpulan Militan Basque ETA Dibubarkan Sepenuhnya

Baru-baru ini, kumpulan militan yang dikenali sebagai Basque ETA telah mengumumkan pembubarannya secara menyeluruh.

Memetik laporan Sky News, ETA bertanggungjawab dalam meragut nyawa kira-kira 850 orang dalam tempoh lebih daripada empat dekad kerana hendak menuntut kemerdekaan untuk Negara Basque (wilayah berautonomi di Sepanyol) daripada Sepanyol.

Antara kegiatan keganasan yang mereka lakukan termasuk mengebom tempat-tempat awam, membunuh ahli politik, dan juga penculikan.

Selain daripada itu, kira-kira 2,600 orang telah tercedera akibat serangan keganasan yang dilancarkan oleh kumpulan berkenaan.

ETA dilaporkan telah mengumumkan mengenai pembubarannya menerusi sepucuk surat bertarikhkan 16 April 2018.

Surat tersebut kemudian disiarkan kepada umum oleh akhbar atas talian, El Diario dan selain daripada membubarkan seluruh struktur kumpulan itu, ETA turut menghentikan “semua inisiatif politik” mereka.

Walau bagaimanapun, ia menegaskan bahawa pembubaran ini tetap tidak menyelesaikan konflik di antara Negara Basque dan Sepanyol, namun ia merupakan langkah untuk meredakan keadaan dan menandakan titik permulaan baru untuk masa depan yang lebih baik.

Difahamkan, ETA telah mengisytiharkan gencatan senjata pada tahun 2011 dan telah menyerahkan senjata mereka pada tahun lepas.

Ia turut memohon maaf kepada ahli keluarga dan saudara-mara bagi individu-individu yang menjadi mangsa kegiatan keganasan mereka.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Juan Ignacio Zoido berkata, kerajaan akan tetap meneruskan siasatan berhubung kira-kira 350 kes jenayah berkaitan ETA yang masih belum diselesaikan.

“ETA tidak meraih apa-apa dengan ikrar mereka untuk menghentikan pembunuhan, dan ia juga tidak akan mendapat apa-apa dengan mengumumkan ‘pembubaran’ mereka,” kata Juan.

Menurut Kementerian itu, ETA telah ditubuhkan pada hujung tahun 1950-an kerana berang dengan penindasan politik dan budaya yang dilakukan oleh bekas diktator, Jeneral Franco.

Tragedi yang paling teruk berlaku pada awal tahun 1980-an, apabila Sepanyol sedang beralih kepada sistem demokrasi.

Kumpulan tersebut juga merupakan dalang disebalik insiden pengeboman di pasar raya Barcelona, yang meragut nyawa seorang wanita hamil dan dua orang kanak-kanak pada tahun 1987.

ETA bukan sahaja menyasarkan pihak polis dan tentera, tetapi juga masyarakat pelbagai latar belakang termasuk orang awam, usahawan, serta anggota mereka sendiri yang mahu keluar daripada kumpulan.

Namun, pasukan keselamatan Sepanyol juga dituduh melancarkan operasi anti-keganasan yang disifatkan sebagai “kotor”, dengan melakukan pembunuhan tanpa bicara ke atas anggota-anggota ETA.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close