Tempatan

Ingin Menjalani Kehidupan Ringkas, Belia Ini Bina Rumah Sendiri

Memiliki sebuah rumah adalah impian setiap anak muda. Dahulu Atiqah Nadiah Zailani pernah berfikir untuk memiliki sebuah rumah di kawasan Petaling Jaya yang harganya mencecah setengah juta ringgit.

Tetapi rancangan itu berubah apabila dia mendapat tawaran bekerja di Tanzania. Pengalaman bekerja di sana telah membuka mindanya dengan cara kehidupan yang berlainan.

Di sana, anak kelahiran Kuala Lumpur itu melihat orang Maasai, iaitu sekumpulan etnik yang tinggal di Tanzania dan Kenya, tinggal di dalam pondok dan menjalani kehidupan yang ringkas.

Tempat tinggal mereka berukuran kurang daripada 100 kaki persegi. Ini adalah kerana kehidupan seharian mereka berlaku di luar dan rumah adalah tempat untuk mereka berehat.

“Disebabkan saya juga seorang yang lasak dan minat alam sekitar saya juga ingin menjalani gaya hidup yang sama seperti mereka.”

Pada masa yang sama, Atiqah juga mengambil inspirasi daripada rumah kecil dan minimal yang kini semakin popular di Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.

Atiqah memerhati ramai yang memuat naik kisah di Internet tentang membina dan mereka bentuk rumah sendiri, jadi dia berfikir tidaklah sukar untuk membuat perkara yang sama.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam pembinaan rumah, Atiqah mula melukis rumah idamannya.

Pelbagai aspek perlu diambil kira, termasuk saiz dapur, bilik tidur dan bilik bekerja. Oleh kerana Atiqah meluangkan lebih banyak masa di bilik tidur dan bilik bekerja, jadi dia melukis ruang tersebut lebih besar dari bilik-bilik yang lain.

Selepas pulang dari Tanzania, dia mula mencari tanah untuk membina rumah idamannya. Atiqah berkata proses tersebut adalah yang paling memenatkan.

Enam bulan kemudian, dia akhirnya menjumpai sehektar tanah di Behrang, sebuah bandar kecil di sempadan Perak dan Selangor, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur.

Apabila tiba masanya untuk membina, Atiqah mengambil pakar arkitek dan pereka dari Epic Homes, sebuah perniagaan sosial yang membina rumah untuk orang asli.

Selain itu, dia juga merujuk kepada kepakaran beberapa juruteknik untuk kerja-kerja tertentu.

Pada September lepas, Atiqah dan 30 orang yang lain dari Epic Homes bekerja keras untuk menghidupkan rekaanya kepada realiti.

Rumahnya yang kini siap dibina berukuran 520 kaki persegi dan mempunyai ruang tamu, dapur, bilik air dan satu beranda di tingkat bawah.

Tingkat atas merupakan ruang loft yang menempatkan tempat tidurnya dan tempat untuk bekerja.

Dalam pada itu, belia ini juga merancang untuk memasang solar panel sebagai sumber elektrik, tangki pengumpulan air hujan sebagai sumber air dan tandas yang dapat mengitar semula sisa manusia.

Kos keseluruhan untuk membina rumah idamannya mencecah RM200,000.

Show More

Related Articles

Back to top button