Isu SemasaTempatan

World OSH Day Memartabatkan Belia Yang Memasuki Alam Pekerjaan

Majlis sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja  (World OSH Day) merupakan acara tahunan yang disambut pada tarikh 28 April setiap tahun di seluruh dunia.

Ia dimulakan oleh kesatuan sekerja sejak tahun 1996 untuk memperingati mangsa kemalangan industri dan penyakit pekerjaan. Pada tahun 2003, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah mewartakan tarikh tersebut sebagai sebahagian daripada permintaan kesatuan kerja untuk mempromosikan hari tersebut. Kini ia juga merupakan hari kesedaran tentang keselamatan di tempat kerja.

Di Malaysia, Majlis sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja ini juga telah menjadi salah satu agenda tahunan bagi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Pada tahun 2018 ini, majlis sambutan akan diadakan pada tarikh 5 Mei 2018 di Dewan Arena Chenor, Maran, Pahang dengan kerjasama JKKP Pahang, PERKESO dan NIOSH.

Bagi tahun 2018, tema Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2018 adalah Generasi Selamat dan Sihat (Generation Safe and Healthy). Tema ini memberi tumpuan meningkatkan keselamatan dan kesihatan kepada pekerja-pekerja muda atau belia yang memasuki alam pekerjaan.

Di peringkat antarabangsa pula, sambutan tahun ini digabungkan bersama kempen melawan buruh kanak-kanak (World Day Against Child Labour, WDACL).

Menurut pertubuhan antarabangsa, seramai 541 juta pekerja muda yang berusia di antara 15-24 tahun yang meliputi 15% tenaga kerja dunia telah mencatatkan 40% kecederaan di tempat kerja berbanding pekerja yang berusia dan berpengalaman. Ini juga termasuk 37 juta bekerja kanak-kanak yang bekerja dalam keadaan yang berbahaya.

Banyak faktor boleh meningkatkan kelemahan pekerja muda terhadap risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, seperti perkembangan fizikal dan psikologi mereka, kurangnya pengalaman kerja dan latihan.

Selain itu, kurangnya aspek kesedaran terhadap penganalisaan bahaya dan risiko (risk assessment) yang berkaitan dengan pekerjaan hingga membolehkan mereka mudah menerima tugas yang merbahaya tanpa memikirkan akibat jangka masa yang akan datang.

Kempen Hari Sedunia Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2018 menyoroti kepentingan kritikal untuk menangani cabaran ini dan meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja muda dengan memberi pendedahan kepada risiko pekerjaan.

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, ia merupakan tanggungjawab majikan dan pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan tempat kerja adalah terjamin.

Jika ia tidak dilakukan, tindakan mahkamah boleh dikenakan ke atas pihak yang terlibat dan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15, pesalah boleh dihukum denda sebanyak RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dengan itu, pekerja muda harus diberi pekerjaan yang sesuai dengan umur berserta pengawasan dan latihan yang mencukupi.

Menurut Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), pekerja muda di Malaysia seharusnya melalui latihan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran kendiri untuk mengurangkan kemalangan yang boleh mendatang kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan majikan.

Terdapat pelbagai bukti bahawa persekitaran pekerjaan yang baik boleh meningkatkan produktiviti pekerjaan sekaligus memberi kebaikan kepada majikan dan ekonomi.

Show More

Related Articles

Back to top button