Hiburan

Waltz, Syurga Pita Kaset di Jepun

Ketika industri muzik dunia mula berubah ke era digital, seorang lelaki di Tokyo sedang memperjuangkan pita kaset dalam sebuah kedai miliknya di bandar moden itu.

Kedai yang dinamakan sebagai Waltz itu terletak di kawasan yang telah diubahsuai dari gudang dan mempunyai hiasan dalaman putih yang ringkas. Walau bagaimanapun, semangat pemilik kedai, Taro Tsunoda, menghidupkan suasana santai di situ.

Bekas pekerja Amazon berusia 48 tahun itu memaparkan pita kaset baru dari pemuzik-pemuzik AS dan Eropah di atas meja di tengah-tengah kedai dan menyediakan penjelasan untuk setiap pita.

Banyak syarikat rakaman yang sering meminta Tsunoda untuk menjual pita mereka, tetapi dia hanya memilih muzik yang sesuai dengan suasana kedainya selepas mendengar setiap rakaman yang diberikan.

Beberapa pita kaset radio yang telah dibaiki dan pemain muzik mudah alih Sony Walkman yang pernah popular pada tahun 1980-an, juga dijual. Dengan muzik akustik lembut yang dipasang sebagai muzik latar, suasana Waltz menyerupai galeri seni.

Tsunoda bekerja di syarikat perdangan gergasi dalam internet, Amazon Japan G.K. selama 14 tahun. Keputusannya untuk menjual kaset di tempat fizikal berbeza dari pendekatan Amazon yang menawarkan pelbagai pilihan barang melalui Internet.

“Saya mahu melakukan sesuatu yang tidak boleh saya lakukan di Amazon, sesuatu yang tiada siapa mahu lakukan tetapi saya boleh lakukan,” Tsunoda menerangkan motivasinya untuk usaha itu dalam temu bual baru-baru ini.

Tsunoda bersama koleksi pita kaset yang dijual

Walaupun kedai itu hanya dibuka pada bulan Ogos 2015, popularitinya telah berkembang kerana media sosial dan media lain, yang mendorong artis-artis terkenal dan pereka fesyen untuk singgah.

Kewujudan Waltz yang dianggap unik telah menarik perhatian jenama fesyen mewah Gucci, yang merancang untuk mencipta produk kolaboratif dengan kedai itu pada bulan April.

Disember lalu, Gucci memilih Waltz sebagai “Gucci Place” yang mencerminkan rasa estetik kontemporari Alessandro Michele, pengarah kreatif jenama itu. Jenama Itali itu menggambarkan Waltz sebagai syurga bagi mereka yang sukakan barangan retro.

“Saya mengesahkan berpuluh-puluh kali sama ada mereka benar-benar OK dengan ini,” kata Tsunoda yang masih tidak percaya bahawa kedainya dipilih oleh jenama fesyen gergasi dunia itu.

Menurut The Star, pita kaset dan muzik telah memainkan peranan penting dalam kehidupan Tsunoda.

“Berbanding dengan muzik digital, pita kaset mempunyai kelebihan bunyi yang lebih lembut. Orang yang cenderung untuk mengutamakan muzik dalam kehidupan lebih cenderung menggunakan barangan analog,” jelas Tsunoda.

Show More

Related Articles

Back to top button