Isu SemasaTempatan

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA)

Pada 17 April 2014, Malaysia dan Turki telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang mula dikuatkuasakan setahun kemudian pada 1 Ogos 2015.

MTFTA merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala yang ketujuh dimeterai oleh Malaysia bersama negara luar selepas Jepun, Pakistan, New Zealand, Chile, India dan Australia.

Selain itu, MTFTA adalah salah satu perjanjian perdagangan yang paling penting memandangkan ia melibatkan dua buah negara Islam sederhana yang juga merupakan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8).

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan pada tahun 2015, Turki mempunyai populasi penduduk seramai 74 juta orang sekali gus menawarkan peluang akses pasaran yang besar.

Beliau turut menggesa komuniti perniagaan Malaysia untuk menggunakan peluang yang ditawarkan di bawah perjanjian berkenaan dengan sebaik mungkin.

Sejurus ia dikuatkuasakan, kedua-dua negara mula menghapuskan duti import secara kekal ke atas 70% barisan tarif.

Dalam tempoh lapan tahun selepas tarikh penguatkuasaan, duti juga akan dikurangkan atau dihapuskan ke atas hampir 86% barisan tarif.

Berikut adalah bidang-bidang yang tertakluk di bawah MTFTA:

1. Peruntukan Awal

2. Definisi Umum

3. Perdagangan Barangan

4. Peraturan Tempasal

5. Prosedur dan Kerjasama Kastam

6. Sanitari dan Fitosanitari

7. Halangan Teknikal Kepada Perdagangan

8. Remedi Perdagangan

9. Kerjasama Ekonomi dan Teknikal

10. Ketelusan

11. Peruntukan institusi

12. Penyelesaian Pertikaian

13. Pengecualian Umum

14. Peruntukan Akhir

 

MANFAAT MTFTA

Difahamkan, eksport utama Malaysia ke Turki melibatkan pelbagai barangan seperti tekstil dan pakaian, kimia dan produk kimia, barangan buatan logam, produk getah, minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik.

Import dari Turki ke Malaysia pula menyaksikan barangan-barangan termasuk tekstil dan pakaian, produk besi dan keluli, produk kimia, produk pertainian, produk elektrik dan elektronik, serta barangan kejenteraan dan alat ganti.

Dalam pada itu, Turki turut menghapuskan semua duti tambahan kastam sedia ada dari 20% hingga 30% ke atas tekstil, pakaian dan kasut, yang melibatkan lebih daripada 1,000 barisan tarif.

Produk berasaskan minyak sawit pula mendapat pengurangan duti secara sekali atau ‘one-off’ sebanyak 30% daripada kadar duti biasa.

Pengurangan duti ini merupakan elemen yang penting untuk mengukuhkan daya saing produk minyak sawit Malaysia dalam pasaran Turki.

 

JUMLAH PERDAGANGAN DENGAN MALAYSIA DAN TURKI CATAT PRESTASI CEMERLANG

Dengan adanya MTFTA, perdagangan Malaysia dan Turki telah menyaksikan peningkatan sebanyak 50.2%, iaitu dari RM 5.61 bilion pada tahun 2015, kepada RM 8.42 bilion pada tahun 2016.

Jumlah eksport barangan turut meningkat sebanyak 89.0%, dari RM 3.80 bilion kepada RM 7.17 bilion dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, barangan import pula mencatatkan jumlah sebanyak RM 1.24 bilion.

Barangan eksport dan import utama pada tahun 2016 adalah seperti berikut menurut portal MITI:

Eksport Utama:

– Minyak sawit dan barangan berasaskan sawit

– Pembuatan logam

– Tekstil, pakaian dan kasut

– Kimia dan Barangan kimia

– Peralatan elektrik dan elektronik

Import Utama:

– Tekstil, pakaian dan kasut

– Mesin, peralatan dan alat ganti

– Kimia dan barangan kimia

– Produk petroleum

– Buah-buahan dan hasil pertanian lain

Sementara itu, dari bulan Januari sehingga Ogos 2017 pula, perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara meningkat lagi sebanyak 67.4%, dengan nilai RM 8.18 bilion.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button