MalaysiaPolitikTempatan

Jom Kenali Calon Muda PRU-14 Di Selangor & Kuala Lumpur

Bagaimanakah situasi politik di Selangor dan Kuala Lumpur sepanjang musim PRU-14 ini?

Di samping terkenal sebagai hub ekonomi yang mendominasi 38% daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negeri lain di Malaysia, dua kota metropolitan itu juga sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi kerusi di Parlimen.

Ianya dapat dilihat melalui bilangan kerusi sebanyak 33 buah (Selangor: 22 dan Wilayah: 11), mewakili 15% daripada keseluruhan 222 kerusi di Parlimen.

PRU-14 juga dilihat sebagai pentas untuk setiap parti meletakkan calon muda, kerana generasi mereka kini berjumlah lebih 30% daripada keseluruhan populasi di Malaysia. Majoriti mereka pula memilih Selangor dan Kuala Lumpur sebagai “lubuk” mencari rezeki bersesuaian dengan kepesatan ekonomi di dua negeri tersebut.

Oleh itu dalam segmen kali ini, Toodia akan menyiarkan secara eksklusif agenda yang dibawa oleh calon-calon  muda dari setiap parti di Selangor dan Kuala Lumpur bagi menjulang aspirasi generasi belia.

BARISAN NASIONAL (BN)

Di pihak BN, Toodia berkesempatan berbicara dengan wakil calon muda yang berkarisma di Parlimen Bandar Tun Razak, Adnan Seman yang berusia 42 tahun.

Menjawat jawatan sebagai peguam sebelum dipilih menjadi calon, Adnan mengulas mengenai usaha dan komitmen pemuda BN dalam menjulang agenda belia peringkat nasional seperti berikut: –

Ini adalah julung kali Pemuda Barisan Nasional memperkenalkan manifesto khusus buat generasi muda.

Ini membuktikan komitmen BN dalam mengangkat kepentingan generasi ini, kerana mereka merupakan pelapis negara.

Terdapat lapan jaminan dalam manifesto BN yang khusus buat generasi kami, antaranya termasuklah jaminan pekerjaan dan latihan, jaminan pendapatan dan kemahiran, jaminan kemantapan ekonomi luar bandar serta jaminan bagi memudahkan para usahawan negara mendapatkan bantuan keusahawanan…

Calon muda BN di Parlimen Bandar Tun Razak, Adnan Seman yang berusia 42 tahun

Komitmen BN dalam memartabatkan golongan belia di Selangor dan Kuala Lumpur juga dapat dilihat melalui jumlah calon muda dari pelbagai latar belakang berusia bawah 45 tahun yang diwakilkan dalam PRU-14 kali ini.

Antaranya termasuklah: –

  1. Shahril Hamdan, 32 (Parlimen Kuala Langat)
  2. Lee Yee Yuan, 28 (Parlimen Sekinchan)
  3. Imran Tamrin, 31, (Parlimen Sungai Panjang)
  4. Chang Toong Who, 40, Parlimen Seri Kembangan)
  5. Ho Kwok Xheng, 30 (Parlimen Damansara)
  6. Rizam Ismail, 37 (Parlimen Sungai Air Tawar)
  7. Chan Wun Hoong, 39 (Parlimen Rawang)

PAKATAN HARAPAN (PH)

Sementara itu di pihak PH pula, Toodia berkesempatan mendapatkan ulasan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berkaliber iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai agenda PH melibatkan golongan belia termasuk di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Nik Nazmi yang akan bertanding mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Setiawangsa berkongsi pandangan mengenai agenda mereka: –

PH menawarkan manifesto yang berperanan meringankan beban rakyat khususnya belia.

Antaranya termasuklah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menangguhkan pembayaran semula pinjaman pelajaran PTPTN sehingga gaji RM4,000.00, mencipta sejuta peluang kerja serta menaikkan gaji minima kepada RM1,500.00…

Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK yang juga calon PKR di Setiawangsa pada PRU-14

Beliau turut berpendapat bahawa komitmen PH terhadap golongan belia juga dapat dinilai melalui langkah meletakkan calon-calon muda di seluruh negara, yang menurut beliau berjumlah lebih 70 orang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini sekaligus meletakkan PH sebaris dengan BN sebagai parti yang “mesra belia”.

Antara calon-calon muda dari PH di Selangor dan Wilayah termasuklah: –

  1. Hannah Yeoh, 39 (Parlimen Segambut)
  2. Fahmi Fadzil, 37 (Parlimen Lembah Pantai)
  3. Rina Mohd Harun, 45 (Parlimen Titiwangsa)

Rina Mohd Harun iaitu calon PH di Parlimen Titiwangsa turut berkongsi pandangan yang sama mengenai hasrat PH dalam memartabatkan belia di seluruh negara termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sewaktu ditemui Toodia, beliau memaklumkan bahawa PH komited menjulang nasib belia bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi bahkan juga dari sudut keilmuan.

Beliau menjelaskan bahawa dari semasa ke semasa, PH membantu mendekatkan golongan belia termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur dengan sumber-sumber ilmu melalui program-program berbentuk keilmuan.

Rina Mohd Harun (kiri) bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu ditemui Toodia pada 1 Mei 2018 di Desa Pandan, Kuala Lumpur

PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)

PAS di Selangor dan Kuala Lumpur tidak ketinggalan mengangkat nama-nama belia bawah 45 tahun sebagai calon samada di peringkat Parlimen mahupun DUN. Antara calon tersebut termasuklah: –

  1. Ustaz Muhammad Labib Abdul Jalil (Parlimen Sabak Bernam)
  2. Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin (Parlimen Gombak)
  3. Mohamed Sukri Omar (Parlimen Pandan)
  4. Mohammad Soleh Abdul Razak (Parlimen Segambut)
  5. Ustaz Ubaid Hj Abdul Akla (Parlimen Setiawangsa)
Muhammad Labib Abdul Jalil, calon dari Dewan Pemuda PAS bagi Parlimen Sabak Bernam

MENGAPA USIA YANG MUDA DILIHAT SIGNIFIKAN DALAM KEPIMPINAN?

Setakat ini – menurut Dr. Mark Van Vugt dalam rencana berjudul Age and Leadership: The Wisdom of Elders and Elephants – saintis masih tidak menemukan sebarang perkaitan di antara usia dengan kualiti kepimpinan.

Namun, tokoh-tokoh berikut membuktikan bahawa usia yang muda bukan penghalang kepada kejayaan dalam kepimpinan.

  1. Nabi Muhammad SAW: Baginda menerima wahyu seawal usia 40 tahun dan berjaya menyebarkan syiar Islam semenjak itu.
  2. Khalifah Umar bin Abdul Aziz (Umar II): Baginda memimpin Empayar Umayyah (circa 720 M) sehingga menghembuskan nafas pada usia muda iaitu 38 tahun. Sepanjang era itu, Empayar Umayyah menyaksikan sistem pemerintahan yang diperkemas, perluasan jajahan yang berjaya serta berhasil melahirkan tokoh negarawan ulung yang mengharumkan nama Islam.
  3. Parameswara atau Raja Iskandar Shah: Sultan Melaka yang pertama ini – menurut beberapa sumber termasuk dari Prof. Emeritus Dato’ Wira Mohd Yusoff Hashim di Universiti Malaya – diyakini memerintah Melaka sewaktu berusia 40-an. Ini sekaligus membuktikan bahawa usia yang muda tidak menghalang baginda untuk mengangkat Empayar Melaka ke persada dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button