AntarabangsaIsu Semasa

Graduan Muda Nepal Bina “Dron Medikal” Bantu Penduduk Pedalaman

Ribuan penduduk Nepal yang menetap di kawasan pedalaman tidak mempunyai akses terhadap kemudahan penjagaan kesihatan.

Hal ini sekali gus menyebabkan ramai penduduk terpaksa mendapatkan rawatan daripada pengamal kesihatan tradisional atau tidak dirawat langsung memandangkan jarak hospital amat jauh daripada kawasan yang mereka diami.

Walaupun negara itu mempunyai sekitar 2,000 kampung yang dilengkapi dengan pusat kesihatan (khusus untuk rawatan kecemasan sahaja), namun ia tidak memiliki bekalan perubatan asas yang cukup dan akan mengambil tempoh berbulan-bulan untuk menghantar stok baru.

Memetik laporan Reuters, negara Himalaya yang miskin itu juga hanya mempunyai kira-kira 2,600 orang doktor, bersamaan kurang satu doktor bagi setiap 10,000 orang pesakit.

Walau bagaimanapun, penduduk kawasan pedalaman kini boleh menarik nafas lega dengan kewujudan perkhidmatan dron yang mampu membawa barang-barang keperluan kesihatan.

Seorang pekerja buruh bernama Om Bahadur Purja, telah terseliuh di bahagian kaki dan ia akan memakan masa 4 jam untuk pergi ke pusat kesihatan yang terdekat.

Tetapi, dia kini boleh mendapatkan rawatan yang diperlukan di rumahnya dengan bantuan dron yang membawa perubatan dan peralatan kesihatan asas.

“Ini menyelamatkan saya daripada pelbagai masalah, waktu dan wang,” kata Purja yang tinggal di Ramche, sebuah kampung yang terletak 250 kilometer dari bandar Kathmandu, ibu kota Nepal.

Idea perkhidmatan kesihatan alaf baru ini dicetuskan oleh seorang bekas guru bernama Mahabir Pun.

Organiasi bukan berasaskan keuntungan (NPO) miliknya yang dikenali sebagai National Innovation Centre (NIC) telah membina “dron medikal” yang pertama di Nepal.

Direka oleh sekumpulan graduan muda tempatan, objektif utamanya adalah untuk menghantar barangan keperluan kesihatan di kawasan-kawasan kampung pedalaman yang sukar untuk dicapai.

“Ia direka dan dipasang oleh graduan muda kolej di makmal kami bagi mengurangkan kos pembinaan.

“Dengan cara ini, saya mahu mempromosikan inovasi dalam kalangan jurutera-jurutera muda dan mengurangkan ‘trend’ rakyat Nepal pergi ke luar negara untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pun menyatakan bahawa dron organisasinya juga mampu membawa sampel darah dan cecair-cecair lain ke makmal untuk menjalani ujian.

Namun setakat ini, dron berkenaan hanya boleh membawa muatan seberat 1 kilometer, tetapi kumpulan jurutera sedang berusaha untuk menaik taraf kemampuannya untuk mengangkat barang yang lebih berat dan bergerak pada jarak yang lebih jauh.

Difahamkan, beliau juga pernah memenangi anugerah Ramon Magsaysay – dilihat sebagai anugerah Nobel Asia – di atas usahanya menyambungkan kawasan kampung dengan Internet.

Kini, Pun juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan demi memastikan rancangannya ini akan terus berjaya sekali gus menjamin penjagaan kesihatan penduduk kawasan pedalaman.

Show More

Related Articles

Back to top button