AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Kehadiran Tentera AS Di Korea Selatan Masih Relevan?

Sidang kemuncak di antara Korea Selatan dan Korea Utara pada Jumaat lepas merupakan langkah penting untuk mencapai keamanan di Semenanjung Korea.

Pada sidang kemuncak bersejarah itu, pemimpin Korea Utara Kim Jong-un telah bersetuju untuk menghentikan program pembangunan senjata nuklearnya yang telah sekian lama menjadi topik kontroversi di seluruh dunia.

Namun, satu persoalan baru telah timbul; adakah tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Korea Selatan akan terus kekal di negara itu sekiranya perjanjian damai ditandatangani untuk menamatkan Perang Korea secara rasmi?

Memetik laporan AFP, salah satu syarat yang diletakkan oleh Pyongyang untuk menghentikan program nuklearnya adalah tentera AS tidak perlu lagi bertapak di Seoul.

Menurut penasihat presiden Korea Selatan, Moon Chung In dalam sebuah artikel yang diterbitkan olehnya baru-baru ini, ia adalah sukar untuk menjustifikasikan kehadiran tentera AS di Seoul sekiranya perjanjian damai dimeterai di antara Utara dan Selatan.

Ini bermakna, kehadiran mereka mungkin tidak akan relevan lagi selepas keamanan di antara Seoul dan Pyongyang telah tercapai.

“Apa akan berlaku pada tentera AS di Korea Selatan jika perjanjian damai dimeterai? Ia sukar untuk menjustifikasikan kehadiran mereka di Korea Selatan selepas penguatkuasaannya,” kata Chung.

Walau bagaimanapun, Presiden Moon Jae-in menolak sebarang idea yang mencadangkan agar tentera AS tidak perlu lagi bberada di Korea Selatan.

“US Forces Korea (USFK) adalah mengenai pakatan (tentera) Korea Selatan-AS. Ia tiada kena mengena dengan menandatangani perjanjian damai,” kata Moon, menurut jurucakapnya, Kim Eui Kyeom.

Kim berkata, Chung merupakan seorang penasihat khas kepada presiden dan kerajaan, namun beliau juga adalah “seorang profesor yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan pemikiran.”

“Presiden melantiknya sebagai penasihat khas bagi mendapatkan manfaat dalam menentukan hala tuju dasar-dasarnya,” ujarnya.

Namun tegas Kim, walaupun Chung adalah penasihat kepada presiden, pandangan atau nasihat beliau tidak semestinya akan diikuti oleh Moon atau kerajaan pimpinannya.

Oleh yang demikian, kerajaan Seoul mahu tentera AS untuk terus kekal di Korea Selatan bagi memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konfrontasi ketenteraan di antara negara-negara jiran seperti China dan Jepun.

Dalam pada itu, Kim menjelaskan bahawa Chung telah diminta untuk tidak mencetuskan kekeliruan mengenai pendirian presiden.

Kini, AS mempunyai kira-kira 28,500 anggota tentera yang berpangkalan di Korea Selatan, dan mereka telah beroperasi di sana sejak Perang Korea lagi, yang tamat pada tahun 1953 menerusi gencatan senjata.

Show More

Related Articles

Back to top button