AntarabangsaIsu Semasa

Kim Jong-Un Jadi “Idola” Duterte

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sebelum ini pernah menggelar pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebagai seorang yang “bodoh.”

Namun, Duterte menarik semula kenyataan berkontroversi itu dan mengubah pandangannya terhadap Kim selepas beliau berikrar untuk bekerjasama dengan Korea Selatan untuk mencapai keamanan dan menghentikan program nuklear.

Kini, presiden Filipina itu menganggap Kim sebagai “idola” dan juga “wira untuk semua orang.”

Duterte berkata, sekiranya mendapat peluang untuk bertemu dengan pemimpin Pyongyang itu, beliau mahu berkata: “Saya menyanjungi anda. Anda tahu bagaimana untuk mengambil langkah pada waktu yang betul.”

“Selama ini, beliau (Kim) digambarkan sebagai seorang ‘budak jahat’ dalam masyarakat. Dengan satu langkah besar, beliau kini menjadi wira bagi semua orang,” ujarnya.

Tambah Duterte lagi, langkah Kim ini boleh mengelak daripada berlakunya peperangan yang tidak akan mempunyai pemenang.

Memetik laporan Straits Times, Duterte merupakan pengkritik tegar program pembangunan senjata nuklear yang dilaksanakan oleh Kim.

Bukan itu sahaja, malah pada bulan April tahun lepas, beliau juga pernah mempersoalkan kewarasan Kim dan menggesa Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan tegas dan jangan terpedaya dengan “individu yang mahu memusnahkan dunia” itu.

Jumaat lalu, Kim telah melakar sejarah baru apabila menjadi pemimpin Korea Utara yang pertama untuk menjejakkan kaki ke Korea Selatan sejak Perang Korea pada tahun 1953.

Pertemuannya dengan Presiden Moon Jae-in juga menandakan sidang kemuncak yang pertama di antara kedua-dua negara Korea itu sejak lebih 10 tahun.

Sebagai tanda penghormatan, Moon juga sempat melangkah masuk seketika ke Korea Utara sebelum bergerak menuju ke bangunan ‘Peace House’ untuk sidang kemuncak tersebut.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan AS dan China pada tahun ini untuk mewujudkan perjanjian damai kekal dan mengisytiharkan secara rasmi pengakhiran Perang Korea.

 

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close