AntarabangsaIsu Semasa

Duterte Larang Rakyat Filipina Bekerja di Kuwait

Larangan sementara terhadap rakyat Filipina yang ingin bekerja di Kuwait kini kekal, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengesahkan perkara itu.

Duterte pada bulan Februari mengenakan larangan ke atas pekerja yang ingin ke Kuwait berikutan pembunuhan seorang pembantu rumah Filipina yang mayatnya ditemui di dalam sebuah peti sejuk di negara Teluk itu.

Krisis diplomatik itu semakin memburuk selepas pihak berkuasa Kuwait mengarahkan pegawai kedutaan Filipina meninggalkan negara itu selepas video cubaan membantu pekerja teraniaya di Kuwait melarikan diri dari majikan, tersebar.

Minggu lalu, Filipina meminta maaf atas insiden video itu tetapi pegawai Kuwait mengumumkan bahawa mereka telah mengusir duta besar Manila dan menarik balik duta mereka di Filipina.

Kuwait juga menahan empat orang Filipina yang diupah oleh kedutaan Filipina dan mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga pegawai diplomatik.

“Larangan itu kekal selama-lamanya. Tidak akan ada lagi penghantaran pekerja terutama pembantu rumah. Tiada lagi,” kata Duterte.

Setakat ini, belum ada respon dari Kuwait. Menurut jabatan luar Filipina, kira-kira 262,000 orang rakyat Filipina bekerja di sana dengan hampir 60 peratus daripada mereka bekerja sebagai pembantu rumah.

Duterte menggambarkan layanan pekerja di Kuwait sebagai “musibah.” Beliau akan membawa pulang pembantu rumah Filipina yang didera dan merayu kepada pekerja yang ingin tinggal di negara kaya minyak itu untuk pulang ke negara asal.

“Saya ingin menyeru kepada rakyat Filipina di Kuwait, pulanglah. Tidak kira betapa miskinnya kita, kita akan bertahan. Ekonomi sedang berjalan dengan baik dan negara kita kekurangan pekerja,” katanya.

Menurut NST, kira-kira 10 juta rakyat Filipina bekerja di luar negara, mencari pekerjaan bergaji tinggi dan kiriman wang mereka merupakan tonggak utama ekonomi Filipina.

Kerajaan Filipina selama beberapa dekad menyokong pekerja di luar negara dan menganggap mereka sebagai wira moden tetapi kumpulan advokasi telah menyatakan kesan buruk penghijrahan, termasuk memecahbelahkan institusi kekeluargaan dan mendedahkan rakyat Filipina kepada penderaan.

Duterte menyatakan kemarahan kepada Kuwait pada bulan Februari lalu, mendakwa majikan Arab sering merogol pekerja Filipina, memaksa mereka untuk bekerja 21 jam sehari dan memberi mereka sisa makanan.

Duterte berkata pekerja yang pulang dari Kuwait boleh mendapatkan pekerjaan sebagai guru bahasa Inggeris di China. Menggambarkan China sebagai “sahabat sejati”, beliau berkata akan menggunakan bantuan China untuk membiayai penghantaran pulang pekerja Filipina di Kuwait.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker