AntarabangsaIsu Semasa

19 Wanita Rusia Dipenjara Seumur Hidup Kerana Sertai IS

Pada Ahad, 29 April 2018, kerajaan Iraq telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas 19 wanita warga Rusia kerana bersekongkol dengan kumpulan militan IS.

Memetik laporan AFP, ketua Mahkamah Jenayah Pusat Baghdad menyatakan bahawa wanita-wanita tersebut didapati bersalah “menyertai dan menyokong IS.”

Selain daripada itu, 6 wanita dari Azerbajian dan 4 dari Tajikistian juga dikenakan hukuman yang serupa di atas kesalahan yang sama.

Difahamkan, kesemua 19 orang wanita Rusia berkenaan telah memasuki mahkamah seorang demi seorang, dan kebanyakan daripada mereka turut ditemani oleh anak masing-masing.

Bagi memastikan sesi perbicaraan berjalan dengan lancar dan tiada isu halangan bahasa (language barrier), seorang profesor yang mengajar bahasa Rusia di Baghdad University turut diminta hadir di mahkamah oleh pihak kedutaan.

“Kami akan menghubungi ibu bapa pesalah untuk memaklumkan keputusan mahkamah kepada mereka,” kata seorang diplomat Rusia yang berada di sesi perbicaraan.

 

RAMAI WANITA “TERTIPU”

Kebanyakan wanita yang dibicarakan pada Ahad mendakwa bahawa mereka telah ditipu untuk datang ke Iraq.

Salah seorang tertuduh menyatakan bahawa dia sepatutnya pergi ke Turki bersama keluarga, tetapi berada di Iraq tanpa disedari.

“Saya tidak tahu kami akan ke Iraq. Saya pergi ke Turki untuk menetap di sana bersama suami dan anak-anak, tetapi tiba-tiba saya menyedari bahawa saya sebenarnya berada di Iraq,” katanya.

 

IS TAWAN HAMPIR 1/3 IRAQ PADA TAHUN 2014

Pada 2014, militan IS telah menawan hampir 1/3 Iraq, dan antara kawasan utama yang berjaya dirampas adalah bandar Mosul, yang merupakan bandar kedua terbesar di negara itu.

Walau bagaimanapun, tentera Iraq telah mengisytiharkan kemenangan dalam membebaskan bandar-bandar yang berada dibawah cengkaman IS pada bulan Disember lepas susulan operasi ketenteraan besar-besaran yang dilancarkan.

Pihak berkuasa telah menahan seramai 560 orang wanita dan 600 kanak-kanak yang terdiri daripada anggota kumpulan itu dan juga saudara-mara para pejuang IS.

Menurut pakar, kira-kira 20,000 orang individu disumbatkan ke dalam penjara di Iraq kerana disyaki menjadi anggota IS, namun tiada sebarang jumlah rasmi setakat ini.

Dalam pada itu, mahkamah pula telah menjatuhkan hukuman mati ke atas lebih daripada 300 pesalah yang menyertai kumpulan militan tersebut, termasuk warga asing.

Di bawah undang-undang anti-keganasan Iraq, mahkamah diberikan kuasa untuk menghukum mana-mana individu yang dipercayai telah membantu pengganas walaupun mereka tidak melancarkan serangan.

Show More

Related Articles

Back to top button