AntarabangsaBudaya

Cuba: Islam Di Sebalik Bauan Harum Cigar Havana

Bercakap tentang Cuba – iaitu sebuah negara di kepulauan Caribbean – semestinya mengulit kembali memori  sejarah dunia yang hitam dan gelap.

NEGARA DENGAN SEJARAH HITAM

Negara itu memang wajar dianggap “hitam dan gelap”, kerana dari tanah itulah lahirnya tokoh revolusi komunis bernama Ernesto Che Guevara, bahkan dari tanah itu jugalah “Krisis Misil Cuba” pernah mencetuskan kegemparan apabila krisis melibatkan blok barat menentang komunis pada 1962, ditakuti menjadi penyebab berlakunya Perang Nuklear pada waktu itu.

Krisis Misil Cuba yang pernah mencetuskan kegemparan sedunia pada tahun 1962

Namun hakikatnya, di Cuba sebenarnya ada sisi terang yang penuh warna-warni.

Di sebalik lakaran kotor dalam kanvas sejarah dunia yang diasapkan oleh bauan cigar Che Guevara yang pekat; Cuba menjadi safehouse kepada komuniti Islam yang hidup dengan penuh keceriaan.

ISLAM DI CUBA

Sejarah kedatangan Islam di Cuba agak berbeza dengan negara-negara lain di Amerika Selatan dan Caribean. Di Cuba, rejim komunis ekstrem di bawah kepimpinan Perdana Menteri Fidel Castro yang menjadi Perdana Menteri dari tahun 1959 sehingga 1976 telah menghapuskan kebebasan beragama di seluruh negara itu.

Fidel Castro (kiri) yang menjadi Perdana Menteri Cuba sehingga 1976 bergambar bersama orang kepercayaan beliau iaitu Che Guevara

Tidak seperti di negara-negara Amerika Selatan yang lain, Islam di Cuba hanya dikembangkan selepas Castro diturunkan dari kerusi Perdana Menteri.

Mulai tahun 1976, semakin banyak pejabat-pejabat kedutaan negara-negara Islam dibuka di Cuba, dan melalui usaha dakwah, akhirnya Islam berkembang di sana.

Terkini, Pusat Penyelidikan Pew menganggarkan terdapat 9,000 umat Islam di Cuba yang membentuk sekitar 0.1% penduduk. Carian awam menemukan bahawa sebahagian komuniti Islam di sana terdiri dari kalangan warga Pakistan yang dahulunya datang ke Cuba sebagai pelajar.

Di samping Pakistan, Arab Saudi turut memainkan peranan mengembangkan Islam di seluruh Cuba.

Ini dapat dilihat apabila pada tahun 2001, Sheikh Muhammad bin Nassir Al-Aboudy, Penolong Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) dari Arab Saudi telah mengunjungi Cuba untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Cuba bagi menubuhkan sebuah organisasi Islam sebagai payung kepada keluarga Muslim di Cuba.

Negara Turki turut memainkan peranan dakwah, apabila pada bulan Julai 2015, Yayasan Hal Ehwal Agama Turki telah membuka ruang solat pertama untuk umat Islam Cuba, di samping menyumbang kepada pembinaan masjid utama di Cuba.

HAVANA: ANTARA MIMBAR DAN KEDAI CIGAR

Sebagai negara pengeluar cigar paling berkualiti di dunia, keadaan itu mencorakkan kehidupan Islam yang penuh bauan harum pekat cigar Cuba yang mewah. Ini dibuktikan apabila melihatkan keadaan kawasan Arab – Muslim di Cuba yang terletak hanya 11 minit perjalanan dari kilang cigar Romeo Y Julietta di La Habana.

Di La Habana juga terletaknya Masjid Abdallah atau digelar Masjid Habana, yang menjadi pusat perkumpulan warga Islam di kota itu.

Masjid Abdallah di Havana, Cuba
Komuniti kecil Islam di Havana, Cuba

PENERIMAAN TERHADAP ISLAM DI CUBA

Menurut Professor A.R. Momin dalam laman sesawang www.iosminaret.org, pada tahun 2015, Jabatan Sejarah Cuba telah meluluskan projek naik taraf muzium di Call Oficios, Havana untuk dijadikan masjid. Ini merupakan bukti bahawa Islam diterima dengan baik dan toleran oleh pihak kerajaan.

Agama penuh sifat harmoni itu juga telah berjaya menghembuskan bayu Islam ke dalam hati sebilangan warga peribumi Cuba, seterusnya membuatkan sebilangan mereka memilih untuk memeluk Islam.

Sebagai negara yang terkenal dengan rum (sejenis minuman beralkohol), Islam telah membentuk keadaan sosial yang bebas arak dan menjadikan keadaan masyarakat lebih aman dan selamat.

KEHIDUPAN MUSLIM DI CUBA

Muslim hidup bersederhana dan harmoni di sana. Setiap kali menjelangnya Ramadhan, kedutaan Arab Saudi di Cuba akan mendermakan buah tamar dan daging halal kepada warga Cuba.

Terima kasih kepada sistem pasaran terbuka negara itu, kini mereka boleh mendapatkan bekalan produk halal dengan mudah apabila beberapa pasaraya terutama di Havana mengimport produk-produk halal dari Brazil, dan ini memudahkan proses kehidupan seharian  warga muslim.

Seorang warga Cuba yang memeluk Islam, Mohammad Dawud bergambar dengan mural Che Guevara sebagai latar belakang
Solat Jumaat yang dikendalikan di Havana, Cuba
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker