AntarabangsaIsu Semasa

Pilpres 2019: Pertempuran Yang Mencabar Buat Jokowi

Indonesia sedang melakukan persiapan untuk mengadakan pilihan raya presiden (Pilpres 2019) yang bakal berlangsung pada tahun depan.

Walaupun presiden Joko Widodo (Jokowi) dilihat sedang mendahului tinjauan pendapat, beliau dijangka akan menghadapi cabaran besar dalam pemilihan kali ini.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) pada bulan Disember 2017, 53.8% responden mahu Jokowi meneruskan mandat sebagai pemimpin berbanding 30 calon presiden yang lain.

Satu lagi kajian yang dilakukan oleh Political Communication Institute (Polcomm Institute) juga mendapati bahawa sokongan rakyat lebih cenderung ke arah Jokowi, iaitu 49.08%.

 

CABARAN HEBAT DARIPADA PESAING POLITIK

Walau bagaimanapun, sokongan ini mungkin tidak akan kekal lama memandangkan pesaing-pesaing politik presiden itu dijangka akan melemparkan cabaran yang hebat.

Menurut Muhammad Sinatra, penganalisis di Pengajian Dasar & Keselamatan dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Pengerusi Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto dan bekas Komander Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Gatot Nurmantyo akan menjadi antara pihak pembangkang yang utama dalam Pilpres 2019.

Difahamkan, Prabowo pernah ‘bertempur’ dengan Jokowi pada pilihan raya tahun 2014, namun tewas dengan kekalahan tipis.

Sebagai pencabar, Prabowo dan Gatot dilihat mengambil langkah provokatif dalam mengkritik kepimpinan dan pentadbiran Jokowi.

Antara isu yang hangat diperkatakan termasuk jumlah hutang negara yang terlalu tinggi serta dakwaan kebangkitan komunis.

Sekiranya kedua-dua calon itu meneruskan kempen dengan cara sedemikian, Jokowi akan terpaksa terlibat dalam “pertempuran populariti”, di mana beliau perlu memberi respon terhadap segala isu/dakwaan, tidak kira sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

Hal ini boleh dilihat sewaktu Jokowi menyampaikan ucapan pada 7 April di Bogor untuk membalas kritikan-kritikan yang menyasarkan pentadbirannya.

Dalam pada itu, presiden itu yang dikenali sebagai seorang yang sopan dan ‘cool’, dilihat memberikan ucapannya pada waktu itu dengan cara yang lebih agresif.

 

ANCAMAN BERITA PALSU

Presiden Jokowi perlu menjadi lebih berhati-hati dengan ancaman berita palsu memandangkan beliau sudah pun menjadi mangsa fenomena ini buat beberapa kali sebelum ini.

Antara fitnah yang dilemparkan terhadap beliau termasuk menuduhnya sebagai penganut Syiah dan juga menjadi anggota komunis.

Isu komunisme merupakan satu isu yang amat sensitif di Indonesia, berikutan tindakan bekas diktator, Suharto yang telah membunuh setengah juta individu yang disyaki berhaluan kiri pada tahun 1960-an.

Sekiranya penyebaran berita palsu tidak terkawal, populariti Jokowi dijangka akan terjejas dengan teruk sekali gus mencacatkan peluangnya untuk meneruskan mandat.

Oleh itu, kerajaan Indonesia telah memulakan operasi memerangi gelombang berita palsu dan ucapan kebencian secara agresif menjelang pilihan raya kali ini.

Pihak polis juga telah berjaya menahan anggota-anggota Tentera Siber Islam (MCA), di mana kumpulan ini didakwa menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Twitter untuk menyerang kerajaan dan mencetuskan ekstremisme agama.

 

JOKOWI PERLU BERHATI-HATI DENGAN KEPUTUSANNYA

Jokowi telah mengambil beberapa langkah yang mendatangkan risiko tinggi ke atas dirinya.

Ini termasuk kelulusan undang-undang baru yang mengehadkan kebebasan berpersatuan, memberi kuasa kepada badan perundangan untuk mendiamkan pengkritik, dan juga merancang untuk memperkenalkan semula sistem yang mengharamkan sebarang kritikan ke atas presiden.

Kewujudan undang-undang/sistem ini dilaporkan akan mencalarkan budaya demokrasi di Indonesia, selain daripada menjadi ‘senjata’ pihak pembangkang untuk memberi ‘serangan balas’ ke atas pentadbirannya.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker