AntarabangsaIsu Semasa

Operasi Gabungan Pihak Berkuasa Lumpuhkan Sistem Propaganda IS

Baru-baru ini, operasi gabungan pihak berkuasa antarabangsa secara besar-besaran telah berjaya melumpuhkan sistem propaganda militan IS.

Agensi kepolisan Eropah, Europol berkata, operasi yang berlangsung selama dua hari itu memberi “tamparan hebat” kepada kemampuan IS untuk menyebarkan propaganda mereka di atas talian dan meradikalisasi golongan belia di benua itu.

Sasaran utama pihak berkuasa adalah agensi berita kumpulan itu, yang dikenali sebagai “Amaq”.

Platform tersebut digunakan oleh IS untuk menyiarkan mesej-mesej propaganda serta ‘pengakuan’ di atas serangan-serangan yang telah mereka lancarkan.

Pengganas juga menggunakan Amaq untuk mengaku bertanggungjawab ke atas pelbagai serangan yang dilakukan di seluruh dunia dan Timur Tengah.

Ini termasuk insiden serangan di Paris, Brussels, Barcelona dan Berlin.

Difahamkan, operasi berkenaan melibatkan kerjasama pihak berkuasa daripada United Kingdom (UK), Belgium, Bulgaria, Canada, Perancis, Belanda, Romania, serta Amerika Syarikat (AS).

“Tindakan yang diambil (oleh pihak berkuasa) yang menyasarkan cawangan media IS seperti Amaq, al-Bayan radio, Halumu dan Nashir news, kemampuan IS untuk menyiarkan dan menyebarkan bahan-bahan pengganas telah dilumpuhkan,” kata Europol dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pihak polis turut merampas beberapa pelayar milik kumpulan itu di Belanda, Kanada dan AS, serta bahan-bahan digital di Bulgaria, Perancis dan Romania.

Counter Terrorism Internet Referral Unit Britain juga terlibat dalam mengenal pasti pendaftar-pendaftar domain peringkat tertinggi yang disalahgunakan oleh IS.

Europol telah mengeluarkan amaran mengenai kebangkitan Amaq sejak hujung tahun 2015 lagi, di mana mereka memberi penekanan terhadap “ketahanan infrastruktur teknikal pengganas di atas talian.”

“Sejak itu, agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, dalam usaha bersama yang berterusan, telah melumpuhkan aset cawangan media (IS),” ujar Europol.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker