AntarabangsaIsu Semasa

Calon Presiden Mexico Mahu “Potong Tangan Pencuri”

“Tangan pencuri perlu dipotong.”

Kenyataan berkontroversi tersebut telah dikeluarkan oleh salah seorang calon presiden Mexico, Jaime Rodriguez dalam sebuah sesi debat yang ditayangkan di siaran televisyen tempatan ketika sedang membincangkan isu rasuah.

Sesi tersebut turut disertai oleh empat orang calon presiden lain yang bakal bertanding dalam pilihan raya pada 1 Julai nanti.

“Kita perlu memotong tangan mereka yang merompak. Ia mudah sahaja,” kata calon bebas yang juga dikenali sebagai “El Bronco” itu.

Ujarnya lagi, beliau juga akan meminta kongres untuk meluluskan sebuah undang-undang baru yang menyokong idea tersebut.

Semua orang, termasuk moderator yang mengendalikan debat itu, Denise Maerker, berasa amat terkejut dengan kenyataan Rodriguez, sehinggakan Maerker bertanya kepadanya sebanyak dua kali untuk pengesahan.

“Ia betul. Ia betul,” kata Rodriguez yang menekankan bahawa beliau benar-benar mahu hukuman itu dilaksanakan.

Memetik laporan Reuters, ahli politik berusia 59 tahun itu terus menjadi trend di laman sosial Twitter berbanding calon-calon lain ketika debat itu berlangsung.

Malah, terdapat juga individu yang menghasilkan “meme” berdasarkan kenyataan beliau, di mana mereka mengubah suai sebuah gambar anggota militan memotong tangan seorang lelaki dengan menggantikan muka Rodriguez pada militan berkenaan.

Jenayah dan rasuah merupakan isu utama yang diperjuangkan dalam kempen-kempen pilihan raya kali ini.

Sesiapa yang memenangi jawatan presiden pada pilihan raya nanti juga akan menghadapi dugaan besar untuk menyelesaikan masalah-masalah ini kerana raja dadah di negara itu bermaharajalela melakukan pembunuhan.

Selain daripada itu, presiden juga perlu ‘melayan karenah’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta memulihkan sistem ekonomi dan politik yang sudah tercemar dengan rasuah.

Difahamkan, kira-kira 200,000 orang telah dibunuh dalam tempoh 10 tahun akibat gejala dadah yang terlalu berleluasa.

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan besar cadangan Rodriguez tidak akan diluluskan oleh kongres memandangkan undang-undang negara itu melarang pelaksanaan hukuman mati mahupun seksaan.

“Ia bukan perkara yang tidak baik, negara-negara yang menangani gejala rasuah telah melakukannya,” kata beliau, namun tidak memberikan sebarang maklumat terperinci mengenai dakwaan itu.

Pada zaman ini, Arab Saudi dan Iran merupakan antara negara di dunia yang melaksanakan hukuman memotong tangan sebagai hukuman ke atas pesalah.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker